‘Memang penat, susah tapi ajar saya erti sabar – Sharifah Zarina

MAKKAH – “Saya masih tak percaya kini sudah bergelar Hajah. Sampai ke sini (Tanah Suci) pun rasa macam mimpi.” Itu reaksi penyanyi popular dengan lagu Langit Ketujuh, Sharifah Zarina Wan Hasan, 44, yang menunaikan ibadah haji bersama suami, Buswani Abdillah, kakaknya, Sharifah Nooraida, 46, dan abang ipar, Syed Abdul Aziz Hamid Edruce, 49.
Menurutnya, meskipun pernah menunaikan umrah, namun beliau mengakui pengalaman haji jauh lebih mencabar, memberi makna dan mendidik diri dalam bentuk yang tidak pernah dirasai sebelum ini.
“Saya hanya dengar cerita saja sebelum ini. Tapi bila buat sendiri barulah saya faham, ini rupanya perjuangan kusut masai yang orang selalu cerita tu.
“Ya ALLAH, ya tuhanku memang penat, susah... tapi saya ‘enjoy’,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Kompleks Jamrah di sini.

Bagi Sharifah Zarina, segala keperitan dan keletihan sepanjang perjalanan ibadah haji bukan sesuatu yang sia-sia.
Malah beliau menyifatkan pengalaman itu sebagai luar biasa dan penuh pengajaran.
Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, masyarakat di luar sana diminta tidak terlalu terpengaruh dengan cerita negatif di media sosial berkaitan kesukaran menunaikan haji.
“Saya imbas balik apa kita buat di Arafah, di Muzdalifah, di Mina... kita dah lalu semua itu. Eh, kita boleh buat rupanya, taklah susah sangat.
“Janganlah dengar cerita-cerita tak best pasal haji, jangan taasub dengan apa yang diceritakan di media sosial sebaliknya lalui lah sendiri,” katanya.
Beliau dalam pada itu menggesa anak muda agar mempunyai cita-cita dan berazam menunaikan haji pada usia muda.
“Bila kita betul-betul nak ALLAH akan panggil walau dari arah mana sekalipun. Haji saya sendiri adalah satu miracle. Saya rasa tak mungkin boleh pergi, tapi saya sampai juga,” katanya.

Dalam nada syukur, Sharifah Zarina yang berasal dari Kuching, Sarawak itu menyifatkan ibadah haji yang dilaluinya ini sebagai titik perubahan dalam kehidupan. Malah, beliau berharap agar amalan di Tanah Suci terus dibawa pulang ke tanah air.
“Saya harap pengalaman ini menjadikan saya lebih sabar. Di Malaysia, cabaran tak sehebat di sini. Di sini kita diuji dengan macam-macam perangai dan ragam manusia.”
“Saya belajar untuk jadi orang yang lebih tenang. Tak semua benda kita perlu lawan. Ada masa, diam itu lebih baik,” katanya.
Tambahnya, perjalanan dari satu tempat ke satu tempat sepanjang melaksanakan rukun haji seperti di Arafah, Muzdalifah dan Mina memberi banyak pengajaran tentang kesabaran, ketahanan emosi dan kekuatan dalaman.
“Setiap lokasi ada cerita sendiri. Ada rintangan, ada ujian. Tapi itulah sebenarnya latihan ALLAH untuk kita, adakah kita mampu tahan diri dan bagaimana kita membalas ragam orang lain.
“Saya terkejut tengok ada jemaah yang kurang sabar. Tapi saya selalu muhasabah diri dan rasa ALLAH nak ajar saya supaya lebih bersabar, ALLAH minta saya jadi orang yang pandai menenangkan keadaan,” katanya.
Mengakhiri perkongsian, Sharifah Zarina menyatakan harapannya agar segala amal ibadat yang dilakukan di Tanah Suci diterima ALLAH SWT dan dikurniakan haji mabrur.
“Di Tanah Suci sambil duduk pun boleh beramal, saya mahu semua ini kekal dalam diri saya sampai bila-bila. Insya-ALLAH,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

