'Kalau satu kes diberi kekebalan, tak mustahil kes lain juga ‘immune’ - Tun M

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang berusaha mengelakkan dirinya daripada dihadapkan ke mahkamah dengan bersandarkan peruntukan kekebalan atau imuniti yang didakwa wujud bagi seorang Perdana Menteri.
Menurut Dr Mahathir, tindakan tersebut menimbulkan persoalan mengapa Anwar tidak mahu berdepan dengan proses perbicaraan sekiranya beliau benar-benar tidak bersalah.
“Kalau yakin tidak bersalah, maka lebih baik jika mahkamah sendiri membuat keputusan itu.
"Tetapi jika cuba dielakkan, maka senario itu memberikan gambaran bahawa ada sesuatu yang disembunyikan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dr Mahathir turut membangkitkan persoalan sama ada kekebalan yang diberikan itu hanya terpakai untuk satu kes sahaja atau akan meliputi kes-kes lain yang mungkin timbul pada masa hadapan.
“Kalau satu kes diberi kekebalan, maka tidak mustahil kes-kes lain juga akan turut ‘immune’. Jadi kalau begitu, Perdana Menteri bunuh orang pun tidak mengapa,” katanya sinis.
Beliau turut mengkritik pelaksanaan undang-undang di negara ini yang didakwanya bersifat tidak adil dan ‘pilih bulu’.
Katanya, terdapat individu yang telah disabitkan bersalah oleh mahkamah tinggi namun masih tidak menjalani hukuman kerana kononnya menunggu keputusan rayuan, sedangkan rayuan tersebut juga telah ditolak dan sabitan disahkan oleh mahkamah rayuan.
"Sebaliknya bagi orang lain, walaupun belum dibicarakan, semasa siasatan pun sudah dikenakan pelbagai bentuk tekanan termasuk ditahan berbulan-bulan, harta disita dan keluarga ditekan.
"Pendek kata, belum disabit kesalahan sudah dihukum,” katanya.
Dr Mahathir berkata, pelaksanaan undang-undang yang tidak konsisten ini menimbulkan persoalan besar terhadap prinsip keadilan dan keluhuran undang-undang di Malaysia.
“Memang benar dalam kes serius seperti membunuh atau mengedar dadah, tahanan sebelum bicara adalah biasa.
"Namun kini, kes yang tidak serius juga berakhir dengan tahanan, kemudian dibebaskan tanpa sebab,” katanya.
Tambah bekas Ahli Parlimen Langkawi itu, inilah gambaran sebenar reformasi dilaung-laungkan kerajaan hari ini, sekadar retorik semata-mata.
“Kita lihat sendiri siapa sebenarnya kaki bohong,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

