PN Perak beri sokongan bantu mangsa, keluarga nahas

Ahmad Faizal
Ahmad Faizal
A
A
A

SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) Perak akan terus memberikan sokongan kepada mana-mana usaha membantu mangsa serta keluarga pelajar terlibat dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Jeli–Gerik, pada Isnin.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, insiden itu merupakan satu kehilangan besar kepada dunia pendidikan negara.

Menurutnya, pelajar tersebut adalah anak muda yang sedang meniti jalan ilmu demi membina masa depan bangsa dan tanah air.

“PN Perak merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa tragedi kemalangan yang menyayat hati melibatkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, yang telah meragut 15 nyawa dan mencederakan beberapa yang lain.

“Kami mendoakan agar keluarga mangsa dikurniakan kekuatan dan ketabahan menghadapi dugaan ini, manakala mangsa yang cedera diberikan kesembuhan segera,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini, sebuah bas persiaran membawa 42 pelajar UPSI dilaporkan terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta Perodua Alza di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, seramai 15 pelajar disahkan maut, manakala selebihnya mengalami kecederaan pelbagai tahap dan sedang dirawat di Hospital Gerik serta Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff menjelaskan, bas persiaran berkenaan telah disewa secara persendirian oleh pelajar sempena cuti Hari Raya Aidiladha.

Kesemua mereka dalam perjalanan pulang ke kampus selepas bercuti di kampung halaman sekitar Jertih dan Hulu Terengganu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan yang bertindak pantas dan cekap menguruskan kejadian berkenaan.

“Semoga roh semua mangsa yang terkorban dicucuri rahmat oleh ALLAH SWT dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan beramal soleh,” doa beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!