Nahas pelajar UPSI: 'Kejadian ini menyentap perasaan kita'- MB Pahang

KUANTAN - Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa tragedi nahas bas yang melibatkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak, awal pagi Isnin
Beliau turut berdukacita dengan tragedi yang meragut 15 nyawa penuntut universiti berkenaan.
"Tragedi ini benar-benar menyentap perasaan kita semua kerana ia melibatkan anak-anak muda yang dalam perjalanan menimba ilmu.
"(Mereka ini) membawa harapan keluarga dan masa depan negara. Kehilangan mereka adalah kehilangan kita bersama," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sehubungan itu beliau berkata, kerajaan Pahang dan seluruh rakyat negeri ini melahirkan rasa simpati yang amat mendalam kepada keluarga mangsa.
"Semoga mereka diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian yang amat berat ini.
"Kepada mangsa yang sedang dirawat, saya doakan agar dikurniakan kesembuhan yang segera dan sempurna," katanya.
Wan Rosdy turut mendoakan agar roh mereka yang terkorban dicucuri rahmat, diampunkan dosa dan ditempatkan dalam kalangan para solihin.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, sebuah bas yang membawa 42 pelajar UPSI dilaporkan terbabas ketika dalam perjalanan pulang dari program khidmat masyarakat di Kelantan.
Seramai 15 pelajar disahkan maut, manakala selebihnya mengalami kecederaan pelbagai tahap dan sedang dirawat di Hospital Gerik serta Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

