Mula mohon kerajaan benar sektor dobi guna LPG bersubsidi

SHAH ALAM - Persatuan Pengusaha Dobi Melayu (Mula) memohon agar sektor pendobian di bawah kategori mikro dan kecil dibenarkan menggunakan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi.
Menurut persatuan itu, perkhidmatan dobi layan diri dan khidmat penuh hanya disediakan untuk pengguna domestik dan bukan komersial.
“Mula menggesa kerajaan mempertimbangkan agar sektor dobi dibenarkan menggunakan LPG bersubsidi.
“Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali mengeluarkan kenyataan baru-baru ini berdasarkan kelulusan Mesyuarat Jemaah Menteri bahawa kerajaan bersetuju untuk membenarkan penggunaan LPG bersubsidi kepada peniaga mikro dan kecil, khususnya dalam sektor makanan dan minuman.
“Namun, sektor dobi tidak diambil kira walaupun industri ini turut tergolong dalam kategori peniaga mikro dan kecil (menurut definisi SME Corp),” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Sebelum ini, KPDN melaksanakan Operasi Gas Memasak (Op Gasak) yang menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat berkaitan status subsidi LPG yang digunakan di rumah, penjaja dan restoran.
Armizan menegaskan bahawa kerajaan tidak memansuhkan subsidi LPG sebagaimana didakwa oleh pihak tertentu, malah menyifatkan dakwaan tersebut sebagai tidak bertanggungjawab dan mengelirukan rakyat terhadap dasar sebenar kerajaan.
Armizan juga menekankan bahawa Op Gasak bukan dasar baharu, sebaliknya satu tindakan penguatkuasaan berasaskan Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 yang telah dilaksanakan sejak pentadbiran terdahulu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

