Kelantan harap Kabinet kali ini tidak dolak-dalik isu royalti

No Image Caption
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Pas Kelantan berharap dengan pembentukan Kabinet baharu ini akan memudahkan urusan pembayaran royalti petroleum kepada negeri ini.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, pembayaran balik royalti itu merupakan agenda besar kerajaan negeri sejak dulu lagi dan berharap kali ini ia dapat diselesaikan dengan baik.

“Harapan kita yang paling besar ialah pembayaran royalti, sepertimana yang diputuskan kerajaan Pusat sebelum ini. Kita harap tiada masalah.

“Sekarang ini pun Kabinet baharu, dulu apa yang kami faham ialah masalah di peringkat Kementerian Kewangan, pelbagai isu yang berdolak-dalik. Jadi kita harap (kali ini) ia boleh selesai dan harapan kami lebih cerah,” katanya kepada media di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Royalti minyak Kelantan: Hingga kini janji tinggal janji

Royalti minyak: Kes saman kerajaan Kelantan terhadap Kerajaan Persekutuan selesai

Kerajaan PH tidak diskriminasi Kelantan isu royalti minyak: Husam

Sebelum ini, semasa pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH), Pas Kelantan tetap optimis yang kepimpinan PH akan menjelaskan royalti petroleum negeri ini sepertimana yang dijanjikan.

Bagaimanapun, sehingga hari ini, urusan tersebut terhenti begitu sahaja dan jaminan pembayaran balik itu bagaikan 'gula-gula' politik.

Artikel Berkaitan:

Ketika ditanya mengenai polemik Rang undang-undang (RUU) 355, Mohd Amar berkata, perkara tersebut masih terlalu awal untuk dibincangkan ketika ini.

Katanya, walaupun Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), namun perkara tersebut masih terlalu awal untuk diberikan fokus ketika ini.

“Benda ini masih peringkat awal, (tapi) masa bukan panjang, kita ada cabaran besar lagi selepas ini iaitu Mei ini mungkin ada undi tidak percaya di Parlimen.

“Jadi dalam masa yang ada ini kita tidak boleh mengharapkan satu benda yang besar, selesaikan apa yang asas dulu. Yang lain boleh bincang selepas ini,” katanya.

Sementara itu, Mohd Amar ketika ditanya mengenai kesediaan untuk mengisytiharkan harta, beliau berkata, perkara tersebut tidak menjadi masalah jika ia menjadi satu peraturan.

“Orang Pas ini duitnya tak banyak, apa yang hendak diistiharnya, gaji mungkin bertambah, harta itu biasa saja,” katanya.