Gaduh Dataran Merdeka: Dua lagi suspek ditahan, seorang ada rekod jenayah

KUALA LUMPUR – Seorang individu yang memiliki rekod jenayah lampau antara dua lagi suspek yang diberkas, dipercayai terlibat dalam insiden pergaduhan di Dataran Merdeka, Sabtu lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, kedua-dua suspek ditahan di sekitar ibu kota dan Petaling Jaya pada Rabu.
Beliau memaklumkan, dua suspek masing-masing berumur dalam lingkungan 20-an itu ditahan kira-kira jam 1.40 pagi dan 3.15 pagi oleh sepasukan anggota dari Bahagian D7, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
“Semakan dijalankan mendapati salah seorang suspek memiliki rekod jenayah lampau.
“Antara peralatan yang dirampas ialah beberapa helai pakaian dan dua topi keledar,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan bahawa polis telah menahan lima lelaki, termasuk seorang remaja, yang dipercayai terlibat dalam insiden pergaduhan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, tangkapan itu dijalankan susulan siasatan terhadap video tular yang memaparkan sekumpulan lelaki bergaduh dan memukul antara satu sama lain menggunakan topi keledar di kawasan terbabit.
Beliau berkata, siasatan lanjut kemudiannya membawa kepada tangkapan lima lelaki tempatan berumur antara 17 hingga 23 tahun yang disyaki terbabit dalam kejadian tersebut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

