Enggan bayar denda, wanita warga China larikan kereta di depoh tunda MPAJ

AMPANG - Tindakan nekad seorang wanita warga China melarikan kereta miliknya di Depoh Tunda Kenderaan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Taman Melawati yang sebelum itu ditunda atas kesalahan menghalang lalu lintas mengundang padah apabila diberkas pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah hari apabila pengadu yang merupakan kakitangan MPAJ didatangi individu terbabit.
"Suspek yang merupakan pemilik kereta jenis Perodua Axia itu bertindak mengambil kenderaannya tanpa membayar denda yang dikenakan MPAJ.
"Pengadu cuba mengejar kenderaan tersebut namun tidak berjaya sebelum tampil membuat laporan untuk rujukan MPAJ serta tindakan lanjut daripada pihak polis," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Katanya, siasatan lanjut membawa tangkapan suspek di hadapan sebuah rumah Taman Melawati, Ampang Jaya.
"Suspek yang berumur 45 tahun itu diberkas sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, kira-kira jam 7.45 petang.
"Wanita terbabit didapati tidak mempunyai sebarang rekod lampau serta semakan dijalankan mendapati suspek merupakan isteri kepada seorang warga tempatan," katanya.
Menurutnya, susulan itu pihaknya merampas kenderaan terbabit bersama sebatang anak kunci.
"Suspek kini direman untuk siasatan di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan sebelum diberi jaminan polis.
"Kertas siasatan akan dimajukan ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

