16 anjing K9 jalani latihan di UK, mula 'tugas' November

KOTA BHARU - Sebanyak 16 ekor anjing Unit Pengesan (K9) dari baka Labrador Retriever dan Spanish Springer Spaniel akan menjalani sesi penyuraian bersama penjaga lama mereka pada bulan Oktober sebelum ‘bertugas’ di Malaysia.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, kesemua anjing berkenaan dijangka mula bertugas pada November selepas semua proses penyuraian dan latihan selesai.
Menurut beliau, tiga wakil masing-masing daripada JBPM, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) telah menjalankan proses penilaian sebelum latihan akhir dilaksanakan.
“Anjing berkenaan akan menjalani latihan di United Kingdom selama lebih dua bulan dan akan berada di samping pegawai bomba yang bakal menjaga haiwan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Bicara Governans Integriti dan Anti Rasuah (BiGIAR) 2025 pada Khamis.
Nor Hisham turut memaklumkan bahawa kos keseluruhan bagi seekor anjing termasuk latihan adaptasi adalah sebanyak RM150,000.
Jelas beliau lagi, kesemua anjing tersebut akan ditugaskan di tiga lokasi utama iaitu di Sabah, Sarawak dan Jalan Klang Lama, Selangor.
Unit Pengesan Anjing (K9) JBPM akan menerima 16 anjing baharu dari United Kingdom bernilai keseluruhan RM2.4 juta pada tahun ini.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa JBPM membeli anjing daripada baka Labrador Retriever dan Spanish Springer Spaniel daripada sebuah syarikat di UK bagi menggantikan kira-kira separuh daripada 34 ekor anjing sedia ada.
Kesemua anjing yang diganti itu telah mencapai usia antara 10 hingga 12 tahun, iaitu bersamaan kira-kira 60 tahun usia manusia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
