Anggota tentera jalani latihan payung terjun mendarat cemas, langgar penunggang motosikal

Sejak pagi tadi tular di aplikasi TikTok seorang lelaki beruniform tentera berdepan detik cemas apabila gagal mengawal pergerakannya ketika melakukan pendaratan payung terjun di kawasan masjid sebelum melanggar sebuah motosikal yang dinaiki orang awam.
Sejak pagi tadi tular di aplikasi TikTok seorang lelaki beruniform tentera berdepan detik cemas apabila gagal mengawal pergerakannya ketika melakukan pendaratan payung terjun di kawasan masjid sebelum melanggar sebuah motosikal yang dinaiki orang awam.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang anggota Batalion ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (18 RAMD (Para) mengalami kecederaan selepas melanggar sebuah motosikal yang ditunggang orang awam ketika membuat pendaratan dalam latihan penerjunan bebas di Kem Terendak, Melaka, Sabtu lepas.

Markas Tentera Darat (TDM) dalam satu kenyataan yang mengesahkan kejadian itu memaklumkan insiden berkenaan melibatkan Kpl Mohd Zahier Zainol Abidin, 29, yang melakukan terjunan latihan sempena Eksesais Eagle Swift Siri 1/2025 di Zon Pendaratan (ZG) Airstrip di kem berkenaan.

"Ketika melakukan final approach menghampiri ZG, perubahan arah angin menyebabkan beliau terkeluar daripada garis pendaratan yang ditetapkan dan terpaksa mendarat di kawasan berhampiran.

"Semasa melakukan pendaratan, anggota berkenaan secara tidak sengaja melanggar sebuah motosikal yang sedang ditunggang oleh orang awam di lokasi kejadian,” menurut TDM dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu memaklumkan sejurus kejadian, pasukan recovery ZG bertindak pantas dengan memeriksa kedua-dua pihak yang terlibat dan mendapati penunggang motosikal tidak mengalami sebarang kecederaan sebelum meninggalkan tempat kejadian.

Sementara itu, Koperal Mohd Zahier telah dihantar ke 94 Hospital Angkatan Tentera (94 HAT) Kem Terendak untuk pemeriksaan lanjut dan disahkan hanya mengalami kecederaan ringan, menurut TDM.

Berikutan itu, TDM menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian itu sehingga siasatan selesai.

Sejak pagi tadi tular di aplikasi TikTok seorang lelaki beruniform tentera berdepan detik cemas apabila gagal mengawal pergerakannya ketika melakukan pendaratan payung terjun di kawasan masjid sebelum melanggar sebuah motosikal yang dinaiki orang awam hingga mendapat perhatian ramai dan komen pengguna di media sosial itu. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!