Bekas pengarah didakwa salah guna wang syarikat lebih RM150,000

SEREMBAN - Seorang bekas pengarah sebuah syarikat perkhidmatan pendidikan didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, pada Khamis, atas lapan pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya dengan menggunakan wang syarikat berjumlah RM153,609 tanpa kebenaran bagi kepentingan peribadi.
Orang Kena Saman (OKS), Chin Wei Choong, 42, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam.
Mengikut pertuduhan, OKS didakwa menggunakan wang syarikat tanpa persetujuan atau ratifikasi dalam mesyuarat agung syarikat antara 1 November 2019 hingga 28 Oktober 2020.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Oakland Commerce Square, di sini.
Ia merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 218(1)(a) Akta Syarikat 2016 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 218(2) akta sama, iaitu penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak melebihi RM3 juta atau kedua-duanya sekali.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Muhammad Akmal Azmi, menawarkan jaminan sebanyak RM2,000 bagi setiap pertuduhan.
Bagaimanapun, peguam tertuduh, Tan Zhi Xian, merayu agar jaminan dikurangkan kepada RM500 bagi setiap pertuduhan atas alasan OKS tidak mempunyai rekod jenayah.
Selain itu, OKS juga merupakan ketua keluarga yang perlu menanggung isteri, empat anak serta ibu yang sedang sakit tenat.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM1,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin, dan 31 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

