Pekerja kedai emas ditahan disyaki curi gelang emas

AMPANG - Seorang pekerja kedai barangan kemas ditahan kerana disyaki mencuri seutas gelang tangan emas di premis berkenaan, di sini, pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, berkata unit peronda polis (MPV) menerima panggilan daripada kakitangan premis terbabit yang memaklumkan mengenai penahanan seorang lelaki berusia 38 tahun.
"Susulan itu, anggota polis bertugas segera ke lokasi kejadian dan bertemu dengan pegawai penyiasat syarikat barangan kemas tersebut yang mendakwa suspek mencuri seutas gelang tangan emas," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Azam berkata, pihak polis kemudian menahan suspek dan merampas barang kes sebelum dibawa ke Balai Polis Ampang untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
