Suami 'lalok' pukul isteri guna gitar, ugut tikam guna gunting

TAWAU - Seorang lelaki ditahan polis kerana disyaki memukul dan mengugut mahu membunuh isterinya menggunakan gitar elektrik dan gunting dalam kejadian di Kampung Tanah Merah, Merotai Besar, pada Selasa.
Bagaimanapun, lelaki berusia 44 tahun itu ditahan pada jam 11.35 malam selepas laporan dibuat oleh isterinya di Balai Polis Bombalai.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek berjaya ditahan kurang 24 jam selepas laporan polis dibuat mangsa yang berusia 36 tahun.
"Kejadian berlaku pada jam 7.13 malam selepas mangsa mengesyaki suspek mengambil syabu.
"Suspek bertindak agresif dan cuba mengancam untuk menikam mangsa menggunakan gunting beberapa kali selain memukulnya di bahagian bahu kanan dengan gitar elektrik.
"Suspek juga dipercayai membocorkan keempat-empat tayar kenderaan milik mangsa bagi menghalangnya daripada pergi ke balai polis untuk membuat laporan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Jasmin berkata, susulan laporan yang dibuat, sepasukan anggota polis bertindak menahan suspek di hadapan rumahnya.
"Turut dirampas gitar elektrik dan gunting yang dibuang suspek di tepi jalan berhampiran rumah selepas dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.
"Suspek ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dan melakukan ugutan jenayah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
