Wanita mengamuk guna parang ditahan polis

TAWAU – Tindakan seorang wanita yang mengamuk sambil memegang parang membawa padah apabila dia ditahan di hadapan sebuah premis perniagaan di sekitar bandar Tawau pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang, suspek berusia 39 tahun itu dikatakan bertindak agresif dengan memegang parang sambil memandu sebuah kenderaan.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, sebaik menerima maklumat daripada Pusat Kawalan Daerah (DCC) Tawau, sepasukan anggotanya dari Balai Polis Tawau bertindak pantas menahan suspek di lokasi kejadian bagi mengelak insiden menjadi lebih buruk.
"Sebaik tiba di lokasi, anggota polis mendapati wanita terbabit sedang memegang sebilah parang dan mereka bertindak pantas menahan suspek serta merampas senjata tersebut dari tangannya," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Jasmin menambah, hasil pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan suspek turut menemui kapak yang disimpan di dalam bonet kereta tersebut.
"Kesemua barangan termasuk senjata dan kenderaan yang digunakan suspek dirampas serta dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut.
"Kes masih dalam siasatan bagi mengenal pasti punca dan motif sebenar kejadian dan disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah," katanya.
Dalam pada itu, Jasmin meminta orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kejadian sebegini bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
