PDRM lancar aplikasi Aduan JIPS, salur maklumat salah laku anggota

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperkenalkan platform digital baharu yang dikenali sebagai Aduan JIPS PDRM bagi memudahkan orang ramai menyalurkan aduan serta maklumat berkaitan integriti dan salah laku anggota pasukan keselamatan itu.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad berkata, aplikasi itu merupakan platform tambahan kepada saluran aduan sedia ada.
"Aplikasi yang dikendalikan sepenuhnya oleh Cawangan Pengurusan Aduan (CPA) JIPS ini diwujudkan bagi memudahkan penyampaian maklumat dan aduan melibatkan warga PDRM secara pantas, selamat dan telus," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Azri berkata, orang ramai perlu mendaftar sebagai pengguna sebelum menggunakan aplikasi tersebut.
"Ia penting bagi membolehkan pengguna menyalurkan dan menyemak aduan serta menerima maklum balas secara langsung. Maklumat itu akan diuruskan dengan selamat dan teratur," katanya.
Beliau berkata, aplikasi itu diwujudkan bagi mengelakkan penyebaran maklumat ke saluran tidak sah selain mempercepatkan tindakan dan maklum balas terhadap aduan yang diterima.
"Sistem ini membolehkan pengurusan aduan dilakukan secara lebih sistematik dan seragam di semua peringkat organisasi PDRM.
“Aplikasi ini menyokong dasar e-Kerajaan dan pendekatan mesra alam tanpa kertas (paperless), selain membolehkan penyaluran aduan yang lebih cekap, efisien dan proaktif,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa sistem berkenaan dilengkapi pangkalan data bersepadu yang dikemas kini secara berkala untuk pelaporan statistik dan membantu perancangan strategik PDRM dalam usaha menambah baik tadbir urus serta integriti pasukan.
"CPA juga bertanggungjawab menerima, menyemak, mengklasifikasi, mendaftar, mengagih dan memantau maklum balas terhadap semua bentuk aduan secara profesional, komited dan responsif selaras dengan Piagam Pelanggan PDRM.
"Orang ramai boleh memuat turun aplikasi Aduan JIPS PDRM melalui Play Store bagi pengguna Android atau App Store untuk pengguna iOS, dan seterusnya mendaftar untuk membuat aduan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
