Ratusan pelampau Yahudi ceroboh Masjid al-Aqsa

BAITULMAQDIS - Ratusan pelampau Yahudi bertindak biadab menceroboh pekarangan Masjid al-Aqsa (Haram al-Sharif) selama dua hari berturut-turut sejak Isnin lalu di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat di Genting Gaza dan Tebing Barat.
Kementerian Hal Ehwal Luar dan Ekspatriat Jordan pada Selasa mengecam tindakan provokasi melampau tersebut.
“Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Islam Amman merupakan pihak berkuasa tunggal yang bertanggungjawab mengendalikan urusan di al-Aqsa dan pihak lain tidak wajar melanggar peraturan itu sewenang-wenangnya,” tegasnya.
Di bawah tindakan pencerobohan terbaharu itu, ratusan ekstremis Yahudi diiringi pihak berkuasa Israel memasuki kawasan Haram al-Sharif melalui Pintu Mughrabi di bahagian Tembok Barat kononnya untuk melakukan ritual sempena perayaan Shavuot.
“Tingkah laku sedemikian sengaja mencetuskan kemarahan dan bertujuan untuk merancang pembahagian baharu di masjid tersebut yang dilarang sama sekali,” ujar jurucakap kementerian itu, Sufian Qudah.
Menurutnya, kawasan seluas 144,000 meter persegi di Haram al-Sharif merupakan tempat ibadah yang dikhaskan secara eksklusif buat Muslim.
Pada 26 Mei lalu, kumpulan pelampau Yahudi turut melakukan tindakan provokatif serupa di bawah arahan Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir ketika memperingati hari pendudukan Kota Lama tersebut pada 1967.
Ia disusuli perkongsian klip oleh Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu yang berada di terowong bawah tanah al-Aqsa yang mengundang kemarahan komuniti Muslim.
Laluan tersebut adalah sebahagian daripada projek rahsia 'City of David' yang merentasi kawasan kejiranan Palestin di Silwan hingga ke bahagian bawah masjid ketiga paling suci orang Islam itu. - Agensi
Info
>Sejak 2003, Israel membenarkan pelampau Yahudi memasuki kawasan Haram al-Sharif hampir setiap hari kecuali Jumaat dan Sabtu.
>Orang Yahudi menggelar kawasan itu sebagai 'Gunung Kuil' yang didakwa sebagai bekas tapak kuil purba nenek moyang mereka.
>Tel Aviv menduduki Baitulmaqdis Timur ketika Perang Arab-Israel pada 1967. Ia kemudiannya merampas seluruh Kota Lama tersebut pada 1980 di bawah langkah yang tidak pernah diiktiraf komuniti antarabangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

