Nora harap kes penceraian diselesaikan segera

PETALING JAYA – Penyanyi terkenal, Datuk Nora Ariffin berharap kemelut rumah tangga dengan suaminya, Dr Rushdi Ramli dapat diselesaikan dengan segera.
Nora atau nama penuhnya, Wan Norafizah Ariffin, 52, berpandangan bahawa adalah lebih baik sekiranya kes penceraian terbabit dapat disegerakan.
“Bagaimanapun, saya serahkan kepada pihak mahkamah, pihak hakim yang lebih arif dalam menangani kedua-dua belah pihak.
“Sebab itulah fungsinya, apabila keadaan tidak boleh diselesaikan, kita serahkan kepada mahkamah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas proses lantikan Jawatankuasa Pendamai (JKP) di pekarangan mahkamah pada Rabu.
Ketika diminta mengulas sama ada prosiding penceraian mereka akan mengambil masa lebih panjang, Nora bagaimanapun tidak pasti tentang perkara itu.
“Saya harap dipermudahkan, jika kedua-dua pihak beri kerjasama. Insya-ALLAH. Jika boleh, hendak selesai awal-awal. Penatlah,” ujarnya lagi.

Tambah Nora, mereka berdua telah berusaha mencari jalan penyelesaian, namun tidak menemuinya hingga terpaksa membawa kes itu ke mahkamah.
Justeru, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada mahkamah dalam menentukan nasib perkahwinannya.
Jelasnya lagi, proses permohonan penceraian itu akan dilaluinya secara profesional tanpa dipengaruhi emosi.
Ketika diminta mengulas mengenai peluang untuk mereka kekal bersama, beliau menjelaskan bahawa perkara itu diserahkan kepada mahkamah dan takdir.
“Yang penting, kita sudah cuba buat yang terbaik, sudah minta doa, sudah cuba berusaha. Tidak ada jalan juga.
“Jadi, mungkin dengan adanya mahkamah yang menilai, akan menjadi pengadilnya,” tambah beliau.
Dalam pada itu, Nora turut berkongsi bahawa anak-anaknya tidak mencampuri urusan tersebut dan menghormati keputusannya.
Bagaimanapun, Nora enggan mengulas kenyataan Dr Rushdi sebelum ini yang memaklumkan akan berusaha memulihkan semula hubungan mereka.
Terdahulu, Mahkamah Rendah Syariah Petaling dalam proses lantikan JKP telah menetapkan tarikh 6 Ogos depan untuk pembentangan laporan oleh kedua-dua belah pihak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

