Satu penghormatan kepada rakyat Kelantan: Ahmad

Menteri Besar Ahmad Yakob
Menteri Besar Ahmad Yakob
A
A
A

KOTA BHARU - Pelantikan lima menteri termasuk seorang menteri kanan serta lima timbalan menteri dari Kelantan adalah satu penghormatan kepada negeri dan rakyat negeri ini, kata Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob.

Beliau turut melahirkan keyakinan kesemua mereka dapat menjalankan tugas masing-masing dengan baik selepas diberikan kepercayaan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Secara peribadi, saya sendiri berasa amat gembira dengan pelantikan kali ini, malah ia satu sejarah bagi Kelantan," katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Ia membabitkan Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin sebagai Menteri Pendidikan; Ahli Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi); Ahli Parlimen Kota Bharu Datuk Takiyuddin Hassan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang); Ahli Parlimen Kubang Kerian Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (Menteri Alam Sekitar) dan Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa (Menteri Wilayah Persekutuan).

Ahli Parlimen Tanah Merah Datuk Seri Ikhmal Hisham Abdul Aziz sebagai Timbalan Menteri Pertahanan; Ahli Parlimen Pengkalan Chepa Ahmad Marzuk Shaary (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama); Ahli Parlimen Rantau Panjang Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (Timbalan Menteri Wanita dan Keluarga); Ahli Parlimen Tumpat Datuk Che Abdullah Mat Nawi (Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan) dan Senator Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad (Timbalan Menteri Alam Sekitar).

Ahmad yang juga Timbalan Mursyidul Am Pas berkata, Kabinet kali ini juga dibarisi pakar dalam bidang seperti agama, koperasi dan kewangan.

“Kabinet seperti ini adalah menepati cita rasa rakyat sekarang. Apa yang penting mereka yang dilantik adalah bersih dan tiada salah laku," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, beliau berpuas hati dengan pelantikan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Artikel Berkaitan:

Katanya, Zulkifli adalah seorang yang berpengetahuan luas selain golongan bukan Islam tidak perlu bimbang kerana beliau adalah seorang yang adil. - Bernama