Haji 2025: Dron digunakan untuk hantar ubat, padam kebakaran

MAKKAH - Musim haji pada tahun ini bakal menyaksikan penggunaan dron untuk menghantar ubat-ubatan pada skala besar dalam tempoh kira-kira enam minit ke lokasi ditetapkan berbanding 90 minit jika menggunakan pengangkutan biasa.
"Perkhidmatan penghantaran ubat-ubatan ini bertujuan untuk mengatasi halangan seperti kesesakan lalu lintas dan lautan jemaah ketika kemuncak ibadah haji yang bermula Rabu hingga Isnin depan," ujar Menteri Kesihatan Arab Saudi, Fahad al-Jalajel.
Menurutnya, ujian telah dilakukan sejak dua tahun lalu untuk memastikan tahap keselamatannya malah dron itu dilengkapi sistem penyejukan bagi memastikan bekalan ubat tidak rosak.
Selain itu, dron pemadam kebakaran digelar Falcon turut dilancarkan buat pertama kali pada Haji 2025.
Direktorat Umum Pertahanan Awam Saudi memaklumkan ia turut dilengkapi teknologi kecerdasan buatan (AI) dan direka khusus untuk mengawal api dan operasi menyelamat di lokasi altitud tinggi serta sukar diakses.
Keupayaannya termasuk kamera terma dan siaran rakaman secara langsung dari lokasi yang boleh dipautkan secara terus ke pusat arahan dan kawalan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

