Lockdown Arafah, Mina elak risiko strok haba

Tajul Urus
Tajul Urus
A
A
A

MAKKAH – Cadangan 'lockdown' oleh kerajaan Arab Saudi antara jam 10 pagi hingga 4 petang semasa berada di Arafah dan Mina bukan bertujuan menahan pergerakan jemaah haji, sebaliknya merupakan langkah pencegahan bagi mengelak risiko strok haba.

Timbalan Mufti Perlis merangkap Ketua Pakar Rujuk Ibadah Haji, Tajul Urus Abdul Halim berkata, saranan itu lebih kepada usaha menjaga keselamatan dan kesihatan jemaah susulan cuaca panas yang melanda kawasan Tanah Suci ketika ini.

“Bukan dengan maksud ditahan atau tidak dibenarkan keluar khemah untuk menunaikan wukuf. Tetapi dinasihatkan supaya jemaah kekal berada dalam khemah masing-masing agar tidak terlalu terdedah kepada terik matahari yang boleh menjejaskan kesihatan,” katanya.

Tajul Urus berkata, pihaknya berharap jemaah haji mengambil inisiatif atau melaksanakan langkah sewajarnya dengan minum air yang lebih banyak dan tidak terlalu terdedah kepada panas cahaya matahari.

“Mungkin masyarakat kita tidak biasa dengan cuaca panas sebegini. Maka perlu ambil langkah berjaga-jaga. Minum air dengan kerap dan hadkan pergerakan di bawah matahari terik,” ujarnya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan bahawa jemaah haji diingatkan agar tidak keluar dari khemah masing-masing, terutamanya antara jam 10 pagi hingga 4 petang semasa berada di Arafah dan Mina, bagi mengelakkan risiko strok haba yang boleh mengancam nyawa.

Langkah itu selaras dengan arahan dikeluarkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi yang mengesyorkan pelaksanaan 'lockdown' pada waktu tersebut.

Ia berikutan suhu dijangka melonjak melebihi 50 darjah Celsius ketika hari wuquf dan juga semasa berada di Mina, seperti yang berlaku pada musim haji tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!