Bekalan ternakan cukup untuk Aidiladha - KPKM

KPKM memberi jaminan bahawa bekalan ternakan bagi sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini adalah mencukupi. Gambar hiasan.
KPKM memberi jaminan bahawa bekalan ternakan bagi sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini adalah mencukupi. Gambar hiasan.
A
A
A

PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan bahawa bekalan ternakan bagi sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini adalah mencukupi untuk menampung permintaan di seluruh negara.

Menurut kementerian itu, statistik Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) menunjukkan jumlah keseluruhan bekalan lembu dan kerbau sehingga Mac 2025 adalah sebanyak 38,804 ekor.

"Daripada jumlah tersebut, sebanyak 35,581 ekor merupakan ternakan tempatan manakala 3,223 ekor adalah yang diimport.

"Bagi kambing dan bebiri pula, jumlah bekalan yang direkodkan ialah 30,167 ekor, merangkumi 26,845 ekor ternakan tempatan dan 3,322 ekor diimport.

“Anggaran permintaan sempena ibadah korban tahun ini adalah sebanyak 34,451 ekor lembu atau kerbau dan 22,453 ekor kambing atau bebiri.

“Justeru, jumlah keseluruhan bekalan ternakan adalah dianggarkan mencukupi bagi menampung permintaan sembelihan korban tahun 2025,” kata KPKM dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dalam masa sama, KPKM berkata, sebanyak 27 buah rumah sembelih milik DVS di seluruh Semenanjung Malaysia bersedia untuk beroperasi sempena musim korban kali ini.

Selain itu, sebanyak 40 buah rumah sembelih swasta turut diberi lesen oleh DVS untuk menjalankan penyembelihan bagi tujuan sama.

Mengulas lanjut, kementerian itu memaklumkan bahawa penyembelihan di lokasi selain rumah sembelih seperti masjid, sekolah, taman perumahan atau tempat awam masih dibenarkan, namun perlu mendapatkan permit khas daripada pihak berkuasa.

Artikel Berkaitan:

“Permohonan permit penyembelihan luar perlu disertakan dengan dokumen-dokumen yang berkaitan bagi mendapatkan kebenaran.

“Orang ramai juga digalakkan untuk merujuk kepada Garis Panduan Penyembelihan Ternakan Korban yang telah dikeluarkan oleh DVS sebagai panduan asas,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!