Anugerah bermakna untuk Ayob Khan dari istana

[DIKEMAS KINI] PENGURNIAAN Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri kepada Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, merupakan anugerah yang amat bermakna kepada beliau dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Darjah kebesaran tersebut selalunya dianugerahkan kepada pegawai paling kanan dalam pasukan penguatkuasaan undang-undang berkenaan.
Menariknya, gelaran Tan Sri yang diterima Ayob Khan hadir ketika tempoh perkhidmatan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, bakal berakhir pada 22 Jun ini.
Razarudin yang sepatutnya bersara pada 15 Mac 2023, sebelum ini telah diberi lanjutan kontrak selama dua tahun. Setakat ini, masih belum ada pengumuman rasmi sama ada kontrak tersebut akan disambung atau sebaliknya.
Harus difahami bahawa pengurniaan anugerah darjah kebesaran adalah hak dan budi bicara mutlak Yang di-Pertuan Agong.
Seri Paduka Baginda berkuasa untuk menzahirkan pengiktirafan kepada mana-mana individu yang dirasakan layak berdasarkan jasa dan sumbangan luar biasa mereka kepada negara.
Antara Timbalan Ketua Polis Negara yang pernah menerima penganugerahan gelaran berkenaan daripada Yang di-Pertuan Agong ialah Tan Sri Mazlan Mansor dan Tan Sri Mazlan Lazim.
Kedua-dua tokoh kepolisian itu diberi pengiktirafan gelaran berkenaan sebelum mereka bersara daripada perkhidmatan dalam PDRM.
Lebih menarik, penyandang Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain pun hakikatnya menerima gelaran Tan Sri yang dikurniakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada tahun 2022 sewaktu beliau masih menggalas jawatan Timbalan Ketua Polis Negara.
Sementara itu, Ayob Khan bukanlah nama asing dalam arena keselamatan negara. Sepanjang lebih tiga dekad berkhidmat dalam PDRM, beliau dikenali sebagai pegawai berintegriti tinggi, tegas dan berani.
Ketika memimpin Bahagian Counter Terrorism (E8), Cawangan Khas Bukit Aman, beliau mengetuai operasi-operasi penting menggagalkan ancaman militan seperti ISIS dan Abu Sayyaf.
Puluhan individu yang dipercayai terlibat dengan aktiviti pengganas ditahan di bawah seliaan beliau, sekali gus membuktikan kepakaran dan keupayaannya dalam menangani isu keselamatan berprofil tinggi.
Pada tahun 2020, Ayob Khan dilantik sebagai Ketua Polis Johor dan menampilkan pendekatan kepimpinan yang berani dan berkesan dalam membanteras sindiket jenayah terancang serta kegiatan dadah.
Ketegasan dan keberanian beliau mendapat pujian ramai, malah ketika itu beliau dilihat sebagai antara tokoh yang wajar diketengahkan ke jawatan lebih tinggi dalam PDRM.
Seterusnya, beliau dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) sebelum menyandang jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman. Kelayakan ini akhirnya membawa beliau ke jawatan Timbalan Ketua Polis Negara pada 23 Jun 2023.
Justeru, penganugerahan gelaran Tan Sri kepada Ayob Khan bukan sekadar penghormatan biasa. Ia dilihat sebagai satu bentuk pengiktirafan dan isyarat kepada peranan penting yang bakal digalas beliau, apatah lagi dalam suasana di mana kedudukan Ketua Polis Negara akan melalui fasa transisi tidak lama lagi.
Ayob Khan membalas anugerah tersebut dengan penuh rendah hati, menyifatkannya sebagai penghargaan kepada seluruh warga PDRM. Beliau turut menegaskan komitmennya untuk terus menjalankan amanah dengan penuh dedikasi demi menjaga keselamatan negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

