Taktik warga Thailand seludup petrol guna kereta tempatan gagal

TANAH MERAH - Taktik seorang warga Thailand cuba menyeludup 80 liter petrol menggunakan kereta tempatan semasa melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Bunga di sini gagal apabila berjaya dikesan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan pada Ahad.
Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, penahanan suspek dilakukan pada jam 9.10 pagi menerusi Op Statik semasa melepasi pemeriksaan di kawasan berkenaan.
"Pemeriksaan ke atas kereta jenis Proton Waja itu membawa kepada penemuan tangki yang telah diubah suai sekali gus melepasi kapasiti asal," katanya kepada pemberita pada Isnin.
Menurut beliau, pemeriksaan lanjut telah menjumpai 80 liter petrol di dalam tangki kereta tersebut.
Ujarnya, suspek telah ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Azman memberitahu, nilai keseluruhan rampasan termasuk kereta berjumlah RM5,164.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

