Inter Milan mahu Inzaghi kekal

Inzaghi
Inzaghi
A
A
A

INTER Milan tetap berpuas hati dengan khidmat pengendali mereka, Simone Inzaghi, dan mahu beliau terus menerajui pasukan walaupun mengalami kekalahan memalukan kepada Paris Saint-Germain (PSG) dalam final Liga Juara-Juara Eropah, menurut Presiden kelab, Giuseppe Marotta.

I Nerazzurri menerima kritikan hebat daripada penyokong dan media Itali selepas dimalukan dengan kekalahan 0-5 di tangan PSG dalam aksi akhir yang berlangsung di Allianz Arena, Munich – kekalahan terburuk dalam sejarah kelab di pentas final kejohanan Eropah.

Inzaghi, yang dilantik sebagai ketua jurulatih pada 2021, sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke kelab Arab Saudi, Al-Hilal. Namun, Marotta menegaskan pihak kelab masih berpuas hati dan berhasrat untuk mengekalkan bekas pengendali Lazio itu.

“Kekalahan ini tidak akan memberi kesan. Hampir keseluruhan kejayaan kitaran positif ini adalah hasil profesionalisme dan kebolehan beliau.

“Jika beliau mahu meneruskan, kami amat gembira,” kata Marotta mengenai Inzaghi, yang masih mempunyai baki kontrak selama setahun.

Sepanjang empat musim di bawah kendalian Inzaghi, Inter berjaya meraih satu kejuaraan Serie A dan dua gelaran Piala Itali.

Dalam perjalanan ke final Liga Juara-Juara musim ini, Inter menewaskan pasukan gergasi seperti Bayern Munich dan Barcelona. Namun, kekalahan kepada PSG merupakan kekalahan kedua mereka di pentas final Liga Juara-Juara dalam tempoh tiga musim, selepas tewas 0-1 kepada Manchester City di Istanbul pada 2023.

Kekalahan itu turut menyaksikan Inter menamatkan musim ini tanpa sebarang trofi utama, selepas sekadar menduduki tempat kedua Serie A – satu mata di belakang juara, Napoli – dan tersingkir di separuh akhir Piala Itali kepada seteru setempat, AC Milan.

Menjelang perlawanan akhir, Inzaghi memberitahu pemberita bahawa beliau tidak mahu membincangkan masa depannya, sebaliknya akan mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan selepas tamat kejohanan.

Artikel Berkaitan:

Selepas kekalahan kepada PSG, Inzaghi sekali lagi ditanya mengenai masa depannya.

“Kita akan lihat dalam beberapa hari lagi bersama kelab. Selepas final seperti ini – yang kedua kami tewas dalam tiga tahun – terlalu banyak kekecewaan. Akan ada masa untuk membincangkannya dengan tenang bersama kelab saya,” katanya.

Marotta pula menegaskan bahawa kelab tidak berhasrat melakukan perubahan drastik, sebaliknya komited untuk terus bekerjasama dengan Inzaghi.

“Kami sedang mengadakan pertemuan dengan jurulatih kerana kelab ini tidak biasa membiarkan seorang pengurus memasuki tahun terakhir kontraknya.

“Tiada revolusi akan berlaku. Kami akan mendengar pandangan beliau. Saya ulangi, daripada pihak kami, kami sangat berbangga dan berbesar hati untuk meneruskan kerjasama ini,” ujar Marotta.

Inter dijadualkan menyertai Piala Kelab Dunia yang akan berlangsung di Amerika Syarikat dari 14 Jun hingga 13 Julai. Perlawanan pertama mereka adalah menentang kelab Mexico, Monterrey, pada 18 Jun di Pasadena.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!