Belum terlambat suburkan minat membaca

BUDAYA membaca dalam kalangan rakyat Malaysia menunjukkan perkembangan positif dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Menurut Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia 2022/2023, purata masa membaca mingguan meningkat kepada 9 jam 22 minit dengan purata 24 naskhah dibaca setahun, terdiri daripada 16 bahan bercetak dan lapan bahan digital.
Peningkatan ini juga disokong pelbagai inisiatif seperti Dekad Membaca Kebangsaan (2021–2030), program Read@Uni dan kempen #BookTokMalaysia yang memanfaatkan media sosial untuk menarik minat membaca dalam kalangan generasi muda.
Namun, cabaran tetap wujud kerana sebahagian besar rakyat Malaysia masih membaca berdasarkan keperluan akademik atau kerja tetapi bukan atas minat peribadi.
Kajian Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) 2018 menunjukkan bahawa pelajar negara ini cenderung membaca kerana terpaksa tetapi bukan kerana minat.
Sebanyak 22 peratus rakyat mengaku tidak berminat langsung dengan buku disebabkan oleh faktor lain termasuk ketagihan terhadap peranti elektronik dan kecenderungan membaca bahan ringan yang tidak mendalam.
Bagi mengatasi isu ini, beberapa langkah perlu diambil pihak berkaitan antaranya memperluas akses dan promosi perpustakaan digital serta meningkatkan kemudahan di perpustakaan fizikal dapat menarik lebih ramai pengguna.
Selain itu pendekatan menggunakan media sosial dan teknologi lain untuk mempromosikan bahan bacaan boleh menjadikan membaca lebih menarik.
Dalam masa sama, langkah menyediakan bahan bacaan berkualiti dan pelbagai genre dapat memenuhi minat berbeza dalam kalangan pembaca.
Program seperti Nadi Ilmu Amalan Membaca (Nilam) di sekolah perlu diperkukuhkan untuk memupuk minat membaca sejak kecil.
Ibu bapa juga perlu berperanan menyediakan bahan bacaan di rumah dan menjadi contoh kepada anak-anak.
Program seperti Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL), sesi ulasan dan perbincangan buku di peringkat komuniti atau institusi pendidikan juga mampu memupuk budaya membaca lebih aktif serta interaktif.
Dengan usaha berterusan dan menyeluruh, usaha untuk membudayakan membaca dalam kalangan rakyat Malaysia akan terus berkembang dan menyumbang kepada pembentukan masyarakat berilmu serta berdaya saing.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
