Mural Batik Madani diiktiraf terbesar di Malaysia

Zaliha (tengah) merasmikan Mural Batik Madani terbesar negara di Jalan Parlimen, Kuala Lumpur pada Ahad sambil disaksikan oleh Maimunah (dua dari kanan) dan Vincent (dua dari kiri). Foto: Facebook DBKL
Zaliha (tengah) merasmikan Mural Batik Madani terbesar negara di Jalan Parlimen, Kuala Lumpur pada Ahad sambil disaksikan oleh Maimunah (dua dari kanan) dan Vincent (dua dari kiri). Foto: Facebook DBKL
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mural Batik Madani yang terletak di Zon Jejak Pahlawan, Jalan Parlimen, di sini diiktiraf sebagai mural batik terbesar di Malaysia.

DBKL memaklumkan, mural sepanjang 183 meter dan setinggi enam meter itu meliputi keluasan melebihi 1,100 meter persegi.

Menurutnya, ia menampilkan motif batik kontemporari melalui pendekatan seni visual moden yang menggabungkan naratif sejarah, jati diri kebangsaan serta aspirasi masa depan negara.

“Reka bentuk mural ini mengetengahkan enam elemen utama iaitu sejarah menganjak, bangsa pelapis, pemacu kemerdekaan, bangsa yang menyatukan, khazanah budaya dan rupa kota berdaulat.

“Mural ini diwujudkan sebagai medium untuk menyampaikan naratif kebangsaan yang inklusif serta memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Ia juga menjadi platform untuk meraikan kepelbagaian budaya termasuk dari Sabah dan Sarawak serta menggunakan batik sebagai medium seni yang mendidik, menyatukan dan mencerminkan nilai Malaysia Madani,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa telah merasmikan mural berkenaan diiringi Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif serta Pengasas dan Penasihat Berjaya Corporation Berhad (Berjaya), Tan Sri Vincent Tan.

Untuk rekod, Mural Batik Madani merupakan projek pertama DBKL bersama rakan strategik di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat swasta bagi 2025 dan dilaksanakan dengan kerjasama strategik Berjaya.

Kerja-kerja melukis telah dimulakan pada 21 Februari dan berjaya disiapkan sepenuhnya pada 24 Mac lalu iaitu 32 hari lebih awal daripada jadual asal.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, DBKL berkata, mural itu merupakan salah satu inisiatif di bawah projek ‘flagship’ dan menjadi pemangkin kepada pelaksanaan Program Anak Angkat Ruang Awam.

“Ia memberi ruang kepada sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan untuk mengangkat serta memelihara lorong belakang, laluan pejalan kaki serta taman awam.

“Terletak berhampiran Taman Botani Perdana dan Taman Tugu di laluan protokol Jalan Parlimen, mural ini bukan sahaja memperindah wajah kota, malah menjadi tarikan baharu yang menghubungkan seni, warisan dan kehijauan alam bandar.

“Reka bentuk latarnya yang bersahaja dalam tona kelabu turut mengambil kira sensitiviti kawasan, sambil mengekalkan nilai estetika yang kuat dan berimpak tinggi,” ujarnya.

Dalam pada itu, DBKL berkata, pihaknya yakin mural itu akan menjadi simbol visual aspirasi Malaysia Madani yang mencerminkan perpaduan, kemampanan dan kecintaan terhadap warisan budaya nasional, sekali gus memperkukuh identiti Kuala Lumpur sebagai kota seni dan warisan berkelas dunia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!