Zionis kian bermaharajalela

KHAN YUNIS - Kezaliman Israel semakin melampau di Genting Gaza selepas sekurang-kurangnya 30 terkorban dalam serangan ganas dilancarkan ke atas pusat bantuan kendalian Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) yang disokong Tel Aviv dan sekutu kuatnya, Amerika Syarikat (AS) pada Ahad.
Insiden keganasan terbaharu itu turut mencederakan lebih 115 penduduk Palestin yang semakin terdesak kerana kelaparan akibat sekatan selama hampir tiga bulan.
Sistem birokrasi termasuk proses rumit untuk mengagihkan bantuan itu menyebabkan ribuan penduduk Gaza nekad menyerbu kemudahan tersebut sejak ia mula beroperasi pada akhir bulan lalu.
Pada 28 Mei lalu, sekurang-kurangnya tiga terbunuh manakala 46 yang lain cedera berhampiran salah sebuah pusat agihan GHF apabila Zionis melepaskan tembakan amaran sehingga mencetuskan panik kepada ribuan penduduk Palestin.
Susulan situasi yang semakin meruncing, Program Makanan Sedunia (WFP) menggesa Israel supaya menghantar jumlah bantuan lebih besar dan pada kadar segera ke Gaza.
"Keadaan yang kian tertekan hanya menyumbang kepada peningkatan ketidaktentuan di Gaza," ujar agensi antarabangsa itu.
Menurutnya, lebih 80 lori membawa bekalan tepung memasuki Gaza pada Sabtu dan dihentikan penduduk Palestin yang kelaparan.
"Bantuan perlu dipertingkatkan untuk tempoh beberapa hari akan datang bagi meredakan kebimbangan dan membina semula kepercayaan bahawa lebih banyak bantuan makanan akan dihantar kepada mereka.
"Bagi menjayakan usaha ini, Israel perlu memastikan laluan konvoi bantuan yang lebih selamat dan memberikan kelulusan yang cepat serta membuka lintasan sempadan tambahan," jelasnya lagi.
Difahamkan, WFP mempunyai lebih 140,000 tan makanan yang mencukupi untuk menampung keperluan kira-kira 2.2 juta penduduk Gaza untuk tempoh dua bulan akan datang dan bersedia dibawa masuk ke enklaf berkenaan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

