Pengantin baharu tinggalkan majlis demi jenazah kakak

Mohd Syafiq (tengah) tiba bersama keluarga di Masjid Al-Mukminin, Kampung Jambu Merah
Mohd Syafiq (tengah) tiba bersama keluarga di Masjid Al-Mukminin, Kampung Jambu Merah
A
A
A

KOTA BHARU – Adik kepada Allahyarham Nurul Ain Abdul Rahim, 39, yang maut dalam kemalangan dengan sebuah bas di Kuala Krai pada Jumaat, meluahkan rasa syukur kerana sempat ‘bersama’ kakaknya sebelum dikebumikan kira-kira jam 2 petang Sabtu.

Mohd Syafiq Abdul Rahim, 24, yang baru sahaja bergelar pengantin baharu, terpaksa meninggalkan majlis perkahwinan di sebelah pengantin perempuan di Kuala Besut selepas selesai akad nikah kira-kira jam 10.30 pagi.

“Selepas akad nikah, saya terus pulang untuk melihat kali terakhir wajah kakak sebelum dikebumikan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Masjid Al-Mukminin, Kampung Jambu Merah pada Sabtu.

Mohd Syafiq difahamkan bertolak ke Kuala Besut kira-kira jam 8 pagi, ditemani beberapa rakan dan adik bongsunya, Siti Zulaika Abdul Rahim, 21.

Dia kemudian dilihat tiba di masjid bersama ahli keluarga lain kira-kira jam 1.15 petang.

Katanya, majlis menyambut menantu yang dijadualkan turut akan menjadi kenduri tahlil buat arwah kakaknya itu.

Jenazah Nurul Ain diusung untuk dikebumikan kira-kira jam 2 petang
Jenazah Nurul Ain diusung untuk dikebumikan kira-kira jam 2 petang

Mohd Syafiq turut sempat menunaikan solat jenazah bersama jemaah lain selepas solat Zohor.

Dalam kejadian pada Jumaat, Allahyarham Nurul Ain bersama anak tunggalnya, Nur Atikah Najihah Mohd Shah Penilzain, 18, serta menantu, Mohamad Faris Kamaludin, 24, maut selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bas ekspres kira-kira jam 11.20 pagi.

Artikel Berkaitan:

Media sebelum ini melaporkan bahawa ketiga-tiga mereka dalam perjalanan pulang ke Kelantan dari Johor bagi membawa barangan hantaran perkahwinan Mohd Syafiq.

Lima dulang hantaran tersebut digubah dan disediakan khas oleh Nur Atikah Najihah untuk majlis akad nikah Mohd Syafiq.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!