Pihak berkuasa AS luluskan vaksin Covid-19 terbaharu Moderna

MOSCOW - Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) meluluskan vaksin Covid-19 terbaharu keluaran Moderna, menurut kenyataan syarikat itu pada Sabtu.
"Moderna, Inc. [NASDAQ:MRNA] hari ini mengumumkan bahawa FDA meluluskan mNEXSPIKE [mRNA-1283], vaksin baharu Covid-19 untuk digunakan ke atas semua individu berumur 65 tahun ke atas,” menurut kenyataan syarikat itu, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Vaksin yang diluluskan itu juga boleh digunakan oleh individu berumur antara 12 hingga 64 tahun yang mempunyai sekurang-kurangnya satu faktor risiko kesihatan, seperti yang ditakrifkan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), menurut syarikat itu.
Vaksin itu ditujukan kepada mereka yang pernah menerima vaksin Covid-19 sebelum ini.
Moderna merupakan syarikat farmaseutikal Amerika Syarikat yang berpusat di Cambridge, negeri Massachusetts, dengan kepakaran dalam pembangunan vaksin.
Pada Disember 2020, vaksin Covid-19 keluaran syarikat itu diluluskan untuk kegunaan kecemasan di Amerika Syarikat. - Bernama-Sputnik/RIA Novosti
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
