‘Dah banyak kali ingatkan tapi masih ada lagi kena tipu’

MAKKAH – Rakyat Malaysia sekali lagi diingatkan supaya berhati-hati apabila menerima tawaran haji mujamalah oleh pihak-pihak tertentu bagi mengelakkan daripada ditipu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, peringatan telah beberapa kali dibuat malah pihaknya juga sebelum ini ada meminta khutbah-khutbah di masjid mengingatkan perkara berkenaan.
“Saya ingat kita dah habis cuba buat (beri peringatan) malah dalam khutbah pun saya suruh ingatkan masyarakat supaya tidak tertipu... tapi masih ada lagi (yang tertipu).
“Saya minta berhati-hati dan semaklah betul-betul kalau dapat tawaran untuk menunaikan haji menggunakan visa mujamalah,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Abraj Al Janadriyah di sini.
Mohd Na'im berkata, jumlah kes penipuan visa mujamalah yang masih dalam siasatan polis agak besar.
Justeru, beliau meminta rakyat tidak mudah tertipu dengan memberi ruang serta peluang kepada pihak yang cuba memanipulasi.
“Kes penipuan ini kita serahkan kepada polis untuk siasatan namun kepada rakyat saya mohon sentiasa waspada.
“Saya percaya kebanyakan daripada kita dah simpan duit dalam tempoh yang panjang. Jadi biarlah duit kita simpan benar-benar dapat manfaat dan dapat laksanakan haji sebenar,” katanya.
Beliau berkata, rakyat diminta membuat semakan terlebih dahulu daripada pihak bertanggungjawab jika ada menerima tawaran visa mujamalah sebelum mengambil keputusan menerimanya.
“Kepada ejen (yang menawarkan visa mujamalah) saya dah cakap dulu haram (hukumnya) kepada mana-mana pihak menggunakan usaha untuk menipu orang lain.
“Penipuan ini sudah tentu mengambil harta orang lain dengan cara bertentangan dengan apa yang ALLAH SWT sebut dalam al-Quran,” katanya.
Terdahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjangkakan lebih banyak tawaran akan diwujudkan sindiket penipuan haji susulan langkah kerajaan memperketatkan pengeluaran visa mujamalah musim ini.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Muhammed Hasbullah Ali berkata, orang ramai perlu berhati-hati dengan tawaran yang dijanjikan dan memeriksa sama ada syarikat atau ejen yang membuat tawaran itu benar-benar berdaftar atau tidak.
Beliau berkata, setakat ini pihaknya sudah menerima satu laporan berkaitan penipuan itu dengan jumlah kerugian bernilai RM71,000.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

