MH17: Pendakwaan baca nama 298 mangsa terkorban

Suasana bilik perbicaraan di Mahkamah Daerah The Hague di Kompleks Kehakiman Schipol (JCS) sunyi seketika apabila pihak pendakwaan membacakan satu demi satu nama 298 mangsa yang terkorban. Foto: AFP
Suasana bilik perbicaraan di Mahkamah Daerah The Hague di Kompleks Kehakiman Schipol (JCS) sunyi seketika apabila pihak pendakwaan membacakan satu demi satu nama 298 mangsa yang terkorban. Foto: AFP
A
A
A

AMSTERDAM - Suasana bilik perbicaraan di Mahkamah Daerah The Hague di Kompleks Kehakiman Schipol (JCS) sunyi seketika apabila pihak pendakwaan membacakan satu demi satu nama 298 mangsa yang terkorban selepas pesawat Malaysia Airlines MH17 ditembak jatuh di ruang udara timur Ukraine.

Selepas peguam, Dedy Woei-A-Tsoi menyebut senarai nama tersebut yang mengambil masa 20 minit, Hakim, Hendrik Steenhuis yang diketuai barisan tiga hakim berkata, kesan daripada apa yang berlaku dalam kes ini dan impak kepada waris, hampir tidak dapat dibayangkan.

“Dan keadaan senyap sunyi di dalam bilik (mahkamah) ini apabila nama-nama mereka yang terkorban dibacakan, jelas menunjukkan setiap mereka yang duduk di sini, hilang dalam pemikiran mereka”, katanya.

Dua lagi hakim adalah Dagmar Kosters dan Helen Kersterns-Fockens.

Empat individu yang dibicarakan itu terdiri daripada tiga warganegara Rusia - Igor Girkin, Sergey Dubinsky, Oleg Pulatov dan seorang warganegara Ukraine Leonid Kharchenko.

Bagaimanapun tidak ada seorangpun tertuduh, hadir ke mahkamah pada hari pertama perbicaraan yang diadakan di Mahkamah Daerah The Hague di JCS di Badheovedorp, di sini.

Mereka menghadapi tuduhan menyebabkan penerbangan MH17 terhempas, mengakibatkan kematian semua orang di dalam pesawat itu, yang boleh dihukum mengikut Perkara 168 Kanun Jenayah Belanda, dan membunuh 298 orang di dalam pesawat, yang boleh dikenakan hukuman menurut Perkara 289 Kanun Jenayah Belanda.

Terdahulu, Woei-A-Tsoi, turut membacakan senarai kesemua negara yang kehilangan warganegara mereka dalam kejadian pada 17 Julai, 2014.

Artikel Berkaitan:

“Satu senjata yang merbahaya, misil BUK yang telah dibawa ke timur Ukraine mengenai MH17. Kesemua yang dituduh dibicarakan kerana menyebabkan MH17 terhempas dan membunuh 298 orang,” katanya.

Katanya suspek yang lain juga membantu menyediakan sistem misil Rusia itu, digunakan untuk menembak jatuh MH17 di timur Ukraine dan mereka masih lagi bebas.

“Mereka dipercayai berada di Rusia,” katanya.

Terdahulu Hakim, Steenhuis dalam penyataan pembukaannya memulakan perbicaraan dengan menjelaskan fungsi mahkamah, tanggungjawab pendakwaan dan pembelaan dan juga latar belakang kes.

Beliau berkata dunia telah lama menunggu perbicaraan kes ini, kerana ia merupakan satu kehilangan tragik banyak nyawa dengan kesan yang besar kepada ahli keluarga dan ia menyentuh banyak pihak di seluruh dunia.

Hakim juga menegaskan hak mereka yang tertuduh dan berkata mereka tidak bersalah sehingga didapati sebaliknya oleh undang-undang.

“Perbicaraan mesti dijalankan secara adil dan saksama,” katanya.

Hakim itu menyatakan di bawah undang-undang Belanda, ahli keluarga mangsa juga mempunyai hak untuk memberikan kenyataan kepada mahkamah dan juga menuntut ganti rugi.

Kesemua 298 orang yang berada di dalam pesawat itu, terdiri daripada 43 rakyat Malaysia, 193 warganegara Belanda dan 27 Australia, terkorban dalam nahas tersebut.- Bernama