Peniaga kecil lega tidak tertakluk syarat permit khas

SHAH ALAM - Penjaja dan peniaga kecil kini mampu menarik nafas lega apabila kerajaan memaklumkan premis makanan yang menggunakan kurang daripada tiga tong Gas Petroleum Cecair (LPG) bersubsidi 14 kilogram (kg) dalam satu-satu masa tidak tertakluk kepada syarat permit khas.
Tinjauan Sinar Harian di beberapa premis makanan di sekitar Shah Alam mendapati peniaga kecil tidak lagi bimbang perniagaan yang mungkin akan terjejas sekiranya diwajibkan penggunaan gas komersial.
Menurut seorang peniaga ayam gunting, Wan Mohamad Al Hafiz, 26, penjelasan oleh kerajaan berhubung perkara tersebut telah merungkai kekeliruan yang timbul sejak beberapa hari lalu.
“Pada awalnya saya memang risau sebab ingatkan semua peniaga kecil juga perlu beralih kepada gas komersial yang saya tahu sekitar RM70 sedangkan saya hanya berniaga kecil-kecilan sahaja.
“Saya buntu memikirkan kemungkinan yang perniagaan akan terjejas dan pelanggan tidak beli lagi dari gerai saya jika harga makanan terpaksa dinaikkan untuk tampung kos.
“Alhamdulillah saya lega kerana tidak terkesan kerana saya hanya menggunakan satu tong gas dalam satu-satu masa dan dalam sebulan pula hanya tiga tong gas yang diperlukan,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Tambah Wan Mohamad, dia tidak lagi runsing memikirkan perkara itu memandangkan perniagaan tersebut telah menjadi punca pendapatan utama sejak enam tahun lalu.
Dalam pada itu, seorang lagi peniaga kuih churros, Muhammad Nur Firdaus Saifuddin, 19, mengakui baharu mengetahui mengenai perkara tersebut
“Sejak isu ini timbul, saya keliru juga mengapa peniaga kecil diwajibkan beralih ke gas komersial sedangkan untung kami sikit sahaja tidak seperti restoran dan sebagainya.
“Sekarang baru tahu sebenarnya kami tidak terlibat. Mula-mula saya buntu juga kerana kos sedia ada ini pun sudah cukup tinggi, mahu ditambah pula dengan penggunaan gas komersial.
“Mahu bayar pekerja lagi, kos bahan mentah juga tinggi belum campur dengan kos tersembunyi lain tetapi saya bersyukur kerana peniaga kecil seperti kami tidak terlibat,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
