Seorang maut, empat cedera nahas dua MPV

GERIK - Seorang lelaki maut manakala empat yang lain termasuk dua kanak-kanak cedera dalam nahas melibatkan dua buah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 1.8 Jalan Gerik–Kupang di sini pada Jumaat.
Pemangku Ketua Polis Daerah Gerik, Deputi Superintenden Muhammad Firdaus Abdullah berkata, laporan awal kemalangan itu diterima pada jam 11.45 pagi melibatkan MPV jenis Nissan Grand Livina dan Perodua Alza.
"Siasatan awal mendapati Nissan Grand Livina yang dipandu seorang lelaki berusia 49 tahun membawa penumpang wanita berusia 56 tahun dan dua penumpang belakang berusia 14 serta 21 tahun.
"Sebuah lagi kenderaan dinaiki pasangan suami isteri berusia 32 tahun bersama kanak-kanak berusia tiga dan lima tahun," katanya.

Menurut beliau, kemalangan itu berlaku apabila kenderaan Nissan Grand Livina yang dalam perjalanan dari arah Kupang menghala ke Gerik dipercayai hilang kawalan.
Jelasnya, keadaan itu menyebabkan kenderaan terbabit memasuki laluan bertentangan lalu merempuh Perodua Alza yang dinaiki empat sekeluarga berkenaan.
"Akibat pelanggaran itu, pemandu Nissan Grand Livina mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia setibanya di Hospital Gerik.
"Penumpang hadapan mengalami patah tulang rusuk dan dirujuk ke Hospital Taiping manakala dua penumpang belakang tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.
Muhammad Firdaus berkata, pemandu Perodua Alza pula mengalami kecederaan parah dan turut dirujuk ke Hospital Taiping.
"Penumpang hadapan tidak cedera, namun dua kanak-kanak di bahagian belakang mengalami kecederaan di kepala dan mata telah dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Siti Nursyahira Mohd Saleh di talian 016-8287981 bagi membantu siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
