Anwar lawat Singapura Sabtu ini, sampaikan ucapan khas di Dialog Shangri-La

SINGAPURA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan kerja sehari ke Singapura pada Sabtu bagi menyertai Dialog Shangri-La ke-22.
Kementerian Luar Malaysia berkata, sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, jemputan itu mencerminkan pengiktirafan terhadap peranan kepimpinan Malaysia dalam mengekalkan keamanan dan keselamatan serantau.
"Dialog ini merupakan acara tahunan bertaraf antarabangsa yang menjadi platform kepada pemimpin dan pegawai untuk membincangkan cabaran keselamatan serantau dan global,” menurut kenyataan kementerian itu pada Jumaat.
Menurut penganjur, Anwar dijadual menyampaikan Ucapan Khas pada Dialog Shangri-La anjuran Institut Kajian Strategik Antarabangsa (IISS).
Semasa lawatan itu, Perdana Menteri juga akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Singapura, Lawrence Wong.
Kedua-dua pemimpin dijangka menilai hubungan dua hala serta bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan isu global yang menjadi kepentingan bersama.
Perdana Menteri juga turut dijadual menghadap Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam.
Pada 2024, Singapura merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia di peringkat global dan yang terbesar dalam kalangan Negara Anggota ASEAN.
Perdagangan dua hala meningkat 8.9 peratus kepada RM396.22 bilion (AS$86.69 bilion), mewakili 13.8 peratus daripada jumlah dagangan keseluruhan Malaysia.
Nilai eksport Malaysia ke Singapura ialah RM230.86 bilion (AS$50.53 bilion), manakala import dari Singapura ke Malaysia bernilai RM143.73 bilion (AS$31.45 bilion).
Kementerian itu berkata, sebagai jiran rapat dan rakan utama ASEAN, Malaysia dan Singapura menikmati kerjasama kukuh yang merangkumi pelbagai bidang.
Tahun ini juga menandakan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
