Akar umbi tunjuk komitmen, bukti UMNO semakin kukuh - Ahmad Maslan

Ahmad (tengah) bergambar bersama tenaga pengajar dan ahli jawatankuasa PIBG Kolej Vokasional Tanjung Piai, Pontian pada Jumaat.
Ahmad (tengah) bergambar bersama tenaga pengajar dan ahli jawatankuasa PIBG Kolej Vokasional Tanjung Piai, Pontian pada Jumaat.
A
A
A

PONTIAN - Kehadiran ahli dalam Persidangan Cawangan UMNO di seluruh negara disifatkan memberangsangkan dan menjadi petunjuk bahawa parti itu sedang bangkit semula selepas melalui pelbagai cabaran sebelum ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, maklum balas yang diterima daripada pelbagai bahagian menunjukkan persidangan cawangan berlangsung dengan sambutan baik daripada ahli akar umbi.

Timbalan Pengerusi UMNO Johor itu menambah, sokongan padu tersebut turut dipacu oleh keyakinan ahli terhadap kebangkitan semula UMNO selepas mencatat kejayaan dalam lima siri Pilihan Raya Kecil (PRK) terdahulu.

“Kejayaan UMNO mempertahankan kerusi dalam PRK seperti di Tioman, Pelangai, Nenggiri, Mahkota, dan Ayer Kuning memberi impak positif kepada semangat ahli akar umbi untuk terus menyokong perjuangan parti.

“Ini petanda UMNO masih kukuh. Kita bukan parti yang hanya bergantung kepada bahagian, sebaliknya kita berakar daripada lebih 21,000 cawangan yang berdaftar dengan **Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS),” katanya.

Ahmad Maslan yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kolej Vokasional Tanjung Piai, di sini, pada Jumaat.

Pada 12 Mac lalu, Mesyuarat Ahli MKT UMNO memutuskan tarikh Persidangan Tahunan UMNO Cawangan diadakan bermula 7 April hingga 25 Mei.

Seterusnya, Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian akan berlangsung dari 9 Jun hingga 27 Julai, manakala Perhimpunan Agung UMNO dijadualkan pada 20 hingga 23 Ogos.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan bahawa mana-mana cawangan yang belum mengadakan persidangan boleh memohon lanjutan tempoh, walaupun tarikh akhir asal ditetapkan pada 25 Mei lalu.

Artikel Berkaitan:

“Kebiasaannya, semasa saya menjadi Setiausaha Agung dahulu, kita beri lanjutan sehingga seminggu untuk membolehkan semua cawangan selesai bermesyuarat,” jelas beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!