33 ditahan dalam operasi bersepadu AADK, polis

Tian Soon melihat lokap yang menempatkan individu yang ditahan.
Tian Soon melihat lokap yang menempatkan individu yang ditahan.
A
A
A

BATU PAHAT – Seramai 33 individu ditahan dalam satu operasi bersepadu melibatkan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Batu Pahat bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Batu Pahat.

Menurut Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Ling Tian Soon, operasi selama dua hari berakhir Rabu berkenaan dilaksanakan hasil risikan dan maklumat awam.

Bagaimanapun, katanya, sebelum tangkapan dibuat, analisis, tindakan pemantauan dan penyamaran turut dilakukan bagi memastikan serbuan serta tangkapan dijalankan secara terancang di beberapa lokasi tumpuan.

“Daripada jumlah yang ditahan, lapan individu diserahkan kepada pihak polis kerana disyaki terlibat dalam kes jenayah.

“20 individu lagi ditahan oleh AADK selepas ujian saringan air kencing mereka didapati positif dadah.

“Bagaimanapun, lima individu lain dibebaskan selepas keputusan ujian air kencing mereka didapati negatif,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tian Soon (tengah) ketika melawat Pejabat AADK Batu Pahat.
Tian Soon (tengah) ketika melawat Pejabat AADK Batu Pahat.

Untuk rekod, sebanyak 17 kawasan panas dikenal pasti sebagai lokasi penagihan dadah di seluruh Johor.

Justeru, usaha sedang giat dijalankan bagi menghapuskan kawasan-kawasan tersebut secara berperingkat.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Tian Soon menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Johor serius dalam usaha menangani isu penyalahgunaan dadah.

Malah, katanya, masalah penyalahgunaan dadah dilihat sebagai isu kritikal yang perlu ditangani segera.

“Kerajaan negeri amat menitikberatkan aspek keselamatan dan sehubungan itu, peruntukan khas telah disalurkan kepada AADK Johor dalam usaha memperkukuhkan penguatkuasaan, meningkatkan pemantauan serta melaksanakan lebih banyak program pemulihan dan pencegahan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!