Gaji sehingga RM5,000 urus judi dalam talian

Syahrul Anuar (dua, kiri) menunjukkan barangan yang dirampas dalam sidang akhbar di IPD Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada Khamis.
Syahrul Anuar (dua, kiri) menunjukkan barangan yang dirampas dalam sidang akhbar di IPD Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Siasatan awal polis terhadap 30 individu yang ditahan kerana menjadi operator perjudian dalam talian di sebuah premis perniagaan di Jalan Tun Razak, di sini, pada Rabu mendapati mereka menerima gaji antara RM3,000 hingga RM5,000.

Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Syahrul Anuar Abdul Wahab berkata, jumlah bayaran itu berdasarkan dokumen slip pembayaran gaji bagi bulan April yang dirampas dalam serbuan menerusi Op Dadu pada jam 11.30 pagi.

"Antara barangan yang dirampas dalam serbuan itu ialah 30 set komputer, 60 telefon bimbit, satu kad akses, dua penghala (router), satu modem serta sebuah dokumen pembayaran gaji," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, di sini pada Khamis.

Syahrul Anuar berkata, sindiket tersebut dipercayai menyasarkan pelanggan dari luar negara, terutamanya China.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui sama ada pasaran mereka hanya tertumpu kepada luar negara atau turut menyasarkan pasaran tempatan,” katanya.

Tambahnya, pemilik yang menyewakan premis kepada sindiket itu telah dikenal pasti dan keterangan beberapa individu telah diambil.

“Sekiranya pemilik premis itu enggan memberi kerjasama, kita tidak teragak-agak untuk menahannya.

“Kita tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pemilik yang membenarkan premis mereka digunakan untuk aktiviti jenayah,” jelasnya.

Pada Rabu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa dilaporkan berkata, kesemua suspek terdiri daripada 23 lelaki dan enam wanita tempatan serta seorang warga China berusia antara 20 hingga 27 tahun yang bertindak sebagai pekerja di pusat panggilan terbabit.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, kesemua yang ditangkap telah dibawa ke IPD Wangsa Maju untuk proses dokumentasi dan kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!