Pemandu lori mabuk, positif dadah dan 'superman' ditahan

JSPT Melaka ketika melakukan operasi khas berhampiran plaza Tol Simpang Ampat Alor Gajah, baru-baru ini.
JSPT Melaka ketika melakukan operasi khas berhampiran plaza Tol Simpang Ampat Alor Gajah, baru-baru ini.
A
A
A

MELAKA - Polis Melaka menahan dua pemandu lori dan seorang penunggang motosikal remaja yang memandu dalam keadaan mabuk, di bawah pengaruh dadah serta secara berbahaya dalam Operasi Khas Perdagangan yang berakhir pada Selasa lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, ketiga-tiga individu yang ditahan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dalam tempoh dua minggu itu berusia antara 13 hingga 47 tahun, termasuk seorang pelajar sekolah menengah.

Menurutnya, mereka ditahan atas kesalahan membabitkan pengaruh alkohol, dadah dan pemanduan berbahaya, yang disiasat mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 42 APJ.

Katanya, penunggang motosikal itu didapati melakukan beberapa aksi berbahaya seperti meniarap di tempat duduk (aksi ‘superman’), menunggang secara zig-zag dari kiri ke kanan jalan, dan perbuatan itu turut membahayakan pengguna jalan raya lain.

“Operasi khas ini diadakan di seluruh negeri Melaka dengan menyasarkan kenderaan perdagangan seperti bas, lori dan kenderaan berat lain.

“Menerusi operasi ini, sebanyak 1,248 buah kenderaan perdagangan telah diperiksa dan 700 keping saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan,” katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Jelasnya lagi, daripada jumlah itu, sebanyak 200 saman dikeluarkan terhadap pemandu lori, manakala 18 buah kenderaan berat telah ditimbang dan empat daripadanya disita kerana membawa muatan melebihi had yang dibenarkan.

Ujarnya, pihak polis akan terus komited melaksanakan operasi secara berkala melibatkan pelbagai kesalahan lalu lintas di negeri ini.

“Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mengamalkan pemanduan secara berhemah dan mematuhi undang-undang jalan raya demi keselamatan diri serta pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!