Daging beruang untuk hidangan di Slovakia cetus kecaman pembangkang

Slovakia mempunyai kira-kira 1,200 ekor beruang perang liar yang dilindungi dan hanya boleh diburu sekiranya mengancam keselamatan manusia.
Slovakia mempunyai kira-kira 1,200 ekor beruang perang liar yang dilindungi dan hanya boleh diburu sekiranya mengancam keselamatan manusia.
A
A
A

BRATISLAVA - Pembangkang di Slovakia mengkritik rancangan untuk menggunakan daging beruang perang buruan bagi tujuan pemakanan manusia, lapor agensi berita Jerman dpa.

Pada Selasa, ahli politik pembangkang Tamara Stohlova dilaporkan oleh agensi berita TASR sebagai menuduh Kementerian Alam Sekitar negara itu telah "bertukar menjadi kedai daging”.

Kenyataan itu dibuat susulan pengumuman oleh Setiausaha Alam Sekitar Filip Kuffa pada Isnin bahawa daging beruang yang diburu secara sah tidak lagi akan dibuang, sebaliknya dimanfaatkan sebagai makanan.

"Apa-apa haiwan yang dibunuh dan memenuhi syarat tertentu akan dibenarkan untuk dimakan. Kenapa? Kerana daging beruang boleh dimakan,” kata Kuffa menerusi hantaran di Facebook.

Beliau turut memaklumkan bahawa agensi di bawah kementerian itu telah mula mengeluarkan lesen yang membenarkan penjualan daging tersebut kepada pengusaha makanan, dengan syarat peniaga perlu membuktikan haiwan berkenaan diburu secara sah.

Menurut data rasmi, Slovakia mempunyai kira-kira 1,200 ekor beruang perang liar yang dilindungi dan hanya boleh diburu sekiranya mengancam keselamatan manusia.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, berlaku beberapa insiden beruang menyerang manusia, termasuk yang membawa maut. Pada Sabtu lalu, seorang lelaki berusia 49 tahun cedera parah akibat diserang seekor beruang di kawasan tempat kerjanya.

Susulan tekanan daripada pemburu dan ahli politik tempatan, kerajaan di Bratislava pada April lalu memutuskan untuk membenarkan pemburuan sehingga 350 ekor beruang yang dikategorikan sebagai "bermasalah”.

Namun setakat ini, hanya 23 ekor berjaya diburu dengan bantuan pihak tentera, kata Kuffa selepas insiden pada Sabtu lalu.

Artikel Berkaitan:

Kuffa merupakan antara penyokong paling lantang terhadap pelan pemburuan beruang yang mencetuskan kontroversi itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!