Perhilitan pantau beruang tersesat di Dungun

KUALA TERENGGANU - Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mendekati seekor beruang yang dilaporkan berkeliaran di beberapa kawasan sekitar Dungun sejak beberapa hari lalu.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong berkata, pihaknya menerusi pasukan Perhilitan Dungun telah turun ke lokasi selepas menerima maklumat mengenai kehadiran haiwan liar itu.
“Setakat ini, beruang tersebut telah beredar dari kawasan berkenaan namun masih dalam pemantauan dan kawalan pihak Perhilitan Dungun,” katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.
Menurut beliau, orang ramai yang ternampak haiwan itu diminta segera menghubungi Perhilitan Dungun untuk tindakan lanjut.
"Jangan kacau atau dekati haiwan berkenaan, biarkan sahaja dan laporkan kepada pihak kami,"ujarnya.
Terdahulu, tular satu video berdurasi 10 saat di media sosial memaparkan seekor beruang dewasa berkeliaran dipercayai di sekitar Bukit Bauk dan Batu 7, Dungun.
Tinjauan di ruangan komen mendapati beberapa penduduk turut mengesahkan kehadiran haiwan itu di kawasan perumahan mereka.
Seorang pengguna Facebook, Iecs Chunk menulis bahawa dia ternampak beruang itu melintas jalan di Bukit Bauk pada Isnin, namun tidak sempat merakam gambar atau video.
Sementara itu, seorang lagi pengguna dikenali sebagai Azhan Ball turut mendakwa terserempak dengan haiwan tersebut di Taman Indah Sari, Batu 7 pada Ahad.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
