Job Fair Bekasi kucar-kacir, ribuan pengsan akibat berhimpit

Kehadiran terlalu ramai pencari kerja menyebabkan berlakunya kesesakan yang luar biasa.
Kehadiran terlalu ramai pencari kerja menyebabkan berlakunya kesesakan yang luar biasa.
A
A
A

BEKASI – Acara Ekspo Kerjaya ‘Bekasi Pasti Kerja’ bertukar kecoh apabila ribuan pencari kerja berhimpit-himpit sehingga menyebabkan ramai pengsan dalam insiden yang berlaku di Pusat Konvensyen Universiti Presiden, Jababeka, pada Selasa.

Program yang dianjurkan oleh kerajaan tempatan itu menyaksikan kehadiran lebih 25,000 pencari kerja, jauh melebihi kapasiti dewan dan jumlah kekosongan jawatan yang ditawarkan.

Menurut Jabatan Tenaga Kerja Kabupaten Bekasi, hanya 2,557 kekosongan kerja dibuka oleh 64 syarikat yang mengambil bahagian.

Ramai peserta tiba seawal subuh dengan harapan menjadi antara yang terawal menyerahkan permohonan dan meningkatkan peluang pekerjaan.

Namun, jumlah kehadiran yang luar jangka menyebabkan suasana bertukar sesak dan tidak terkawal sebaik pintu dibuka.

Keadaan bertambah tegang apabila seorang panitia cuba menampal risalah mengandungi kod QR senarai kekosongan kerja, namun ia dirampas oleh seorang peserta sebelum sempat ditampal.

Antara mereka yang pengsan kerana dihimpit.
Antara mereka yang pengsan kerana dihimpit.

Tindakan itu mencetuskan kekecohan apabila pengunjung lain mula menolak dan berebut sesama sendiri.

Dalam suasana kelam-kabut itu, berlaku juga pergaduhan fizikal dan ramai peserta pengsan akibat sesak nafas serta keletihan.

Artikel Berkaitan:

Petugas kesihatan yang bersiap siaga di lokasi memberikan bantuan kecemasan kepada mangsa.

Bupati Bekasi, Ade Kuswara Kunang, mengakui bahawa situasi itu merupakan satu cabaran besar buat pihak penganjur dan bukan sesuatu yang boleh dibanggakan.

“Kami hanya buka lebih 2,000 peluang kerja, tetapi yang datang lebih 25,000. Ini bukan prestasi, tapi beban moral yang perlu kami tangani,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa daripada kira-kira 7,000 syarikat yang beroperasi di kawasan industri Bekasi, hanya sebahagian kecil yang mengambil bahagian dalam ekspo kali ini.

Sistem penyampaian maklumat turut dipersoalkan apabila risalah kod QR hanya diedarkan secara fizikal dan ditampal di lokasi, menyebabkan orang ramai berebut mendapatkannya.

Ramai peserta dilaporkan mengalami tekanan emosi akibat harapan tinggi yang tidak kesampaian, ditambah dengan keletihan menunggu, beratur dan berhimpit dalam keadaan panas serta sesak.

Bupati Bekasi berjanji akan menambah baik penganjuran pada masa akan datang termasuk menambah bilangan kekosongan, memperluaskan penyertaan syarikat dan memastikan penyampaian maklumat yang lebih tersusun dan selamat kepada semua pencari kerja. -Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!