LIMA'25: Jualan tiket feri ke Pulau Langkawi meningkat

Lonjakan jumlah pengunjung pada LIMA'25 ini turut menyaksikan Ferry Line menambah sebanyak 126 trip perjalanan dua hala dari Kuala Kedah dan Kuala Perlis ke Langkawi.
Lonjakan jumlah pengunjung pada LIMA'25 ini turut menyaksikan Ferry Line menambah sebanyak 126 trip perjalanan dua hala dari Kuala Kedah dan Kuala Perlis ke Langkawi.
A
A
A

ALOR SETAR – Sambutan terhadap Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA'25) mencatatkan angka memberangsangkan apabila jualan tiket feri ke pulau peranginan itu sepanjangan penganjurannya mencecah 87,173 tiket.

Pengurus Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Leftenan Komander (B) Norhafiz Abdul Wahid berkata, lonjakan jumlah pengunjung ini turut menyaksikan pihaknya menambah sebanyak 126 trip perjalanan.

Menurutnya, tambahan trip perjalanan bagi memenuhi permintaan tinggi, sekali gus memastikan kelancaran pergerakan penumpang dua hala dari tanah besar melalui Kuala Kedah dan Kuala Perlis ke Langkawi.

“Peningkatan jumlah perjalanan ini melibatkan kedua-dua terminal utama iaitu Terminal Jeti Kuala Kedah dan Terminal Jeti Kuala Perlis, yang menjadi pintu masuk utama ke pulau peranginan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

LIMA’25 yang berlangsung selama lima hari tersebut menyaksikan penyertaan hebat daripada 860 pempamer dari 24 negara.

Sebanyak 43 pesawat udara dan 31 kapal dari pelbagai negara turut menyertai acara ini dan majlis menandatangani kontrak, MoU dan LOI bernilai RM11 bilion turut diadakan, sekali gus membuktikan keyakinan pelabur terhadap sektor pertahanan negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam ucapan penutup LIMA’25 pada Sabtu lalu berkata, edisi ke-17 ini terus mengukuhkan kedudukan LIMA sebagai antara pameran pertahanan dan aeroangkasa terkemuka di rantau Asia Pasifik.

Menurutnya, sepanjang lima hari penganjuran, LIMA’25 telah berjaya menghimpunkan pemain-pemain industri pertahanan, keselamatan, komersial, serta teknologi maritim dan aeroangkasa dari dalam dan luar negara.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!