ASEAN: Chin Tong bawa delegasi ke kedai buku cetus perdebatan

PUTRAJAYA – Tindakan Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong membawa delegasi Kemboja ke sebuah kedai buku terkenal di ibu negara mencetuskan perdebatan dalam kalangan warga maya.
Menerusi hantaran di Facebook pada Isnin, Chin Tong memaklumkan bahawa beliau telah mengajak Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Belia dan Sukan Kemboja, Dr Hang Chuon Naron, serta Menteri Perdagangan Kemboja, Cham Nimul, singgah di kedai buku Kinokuniya yang terletak di dalam kompleks membeli-belah Suria KLCC.
“Kedua-dua mereka yang memang minat membaca meluangkan masa membelek dan membaca pelbagai pilihan buku di sini,” katanya sambil memaklumkan bahawa Chuon Naron turut fasih berbahasa Mandarin dan Rusia.
Menurut Chin Tong, amalan membaca amat penting bagi penggubal dasar dalam usaha menghadapi cabaran dan menyelesaikan pelbagai isu di peringkat negara dan rantau.

Bagaimanapun, tindakan tersebut mengundang kritikan sebahagian warga maya yang berpendapat Chin Tong sepatutnya membawa delegasi tersebut ke Pameran Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025.
“Pesta buku sedang berlangsung, apa salahnya bawa ke sana,” tulis seorang pengguna Facebook, Abdul Rahman Ahmad Tarmizi.
Pandangan itu turut disokong oleh ramai pengguna media sosial lain yang meninggalkan komentar serupa.
PBAKL 2025 berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur bermula 24 Mei hingga 2 Jun, menghimpunkan lebih 500 reruai pempamer tempatan dan antarabangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

