Pemandu treler tidak mengaku sebabkan kematian

SEREMBAN – Seorang pemandu treler mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas pertuduhan memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki tahun lalu.
Tertuduh, K Sivanathan, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Azuin Mohd Talhah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pemandu treler didapati memandu kenderaan tersebut secara cuai sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki berusia 48 tahun.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 6.25 petang di Jalan Lombong Emas, Kawasan Perindustrian Seremban pada 9 Mac 2024.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga dua tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Zul Azrin Zainuddin menawarkan jaminan RM5,000.
Namun, Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Lee Boon Shian memohon anak guamnya dikenakan jaminan minimum dengan alasan tertuduh sudah berkahwin, isterinya tidak bekerja dan menanggung dua anak.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM3,000 dan menetapkan tarikh sebutan semula pada 25 Jun ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

