Kanak-kanak melecur disiram kuah bakso

JAWA TIMUR – Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun melecur akibat didera ibu saudaranya gara-gara dikatakan nakal dan suka berbohong.
Kisah penderaan kanak-kanak malang dikenali sebagai SN itu tular di media sosial.
Jiran mangsa, Azizah berkata, mangsa disimbah sup bebola daging panas oleh ibu saudaranya, NAR (27), sehingga melecur.
Susulan kejadian itu, katanya, mangsa melecur di pangkal paha dan kaki kiri akibat disimbah kuah bakso oleh ibu saudaranya.
“Mangsa di Jember tinggal dengan makcik dan neneknya. Kedua-dua ibu bapanya berada di Borneo untuk bekerja.
“SN sering didera oleh ibu saudaranya kerana dikatakan nakal dan suka berbohong,” katanya pada Isnin.
Tambah Azizah, mangsa pernah didera sehingga lebam di sekitar mata.
Ujarnya, jiran mangsa sudah melaporkan perkara itu kepada Polis Kalisat Jember namun tidak menerima sebarang maklum balas.
“Wajah mangsa pernah bertukar biru di sekeliling mata, malah SN turut dianiaya apabila menerima wang atau makanan daripada orang lain.
“Ibu bapa SN tidak percaya dan menyangka anak mereka berada dalam keadaan baik. Keadaan psikologi mereka pasti terjejas kerana jika kanak-kanak diperlakukan sebegitu, sudah tentu ia akan memberi kesan kepada kesihatan mentalnya,” katanya.
Menurutnya lagi, akhirnya guru mangsa mengambil inisiatif melaporkan kejadian itu kepada Polis Jember dan kini SN berada di rumah kejiranan setelah pelaku ditangkap polis.
Katanya, kesan lecuran di badan SN semakin pulih namun belum sembuh sepenuhnya.
Sementara itu, Ketua Unit Perlindungan Wanita dan Kanak-Kanak (PPA) Unit Siasatan Jenayah Polis Jember, Ipda Qori Novendra mengesahkan perkara itu.
“Perbuatan keganasan itu dilakukan pada 5 Mei 2025. Suspek menyiram mangsa dengan sup bebola daging panas menggunakan pengukus.
“Suspek kecewa kerana mangsa tidak pulang sepanjang hari, tiba-tiba pulang dengan balang makanan,” kata Qori.
Untuk tindakannya, NAR didakwa di bawah Perkara 44 perenggan 2 Undang-Undang No. 23 Tahun 2004 mengenai keganasan rumah tangga, serta digabungkan dengan Perkara 80 perenggan 2 Undang-Undang No. 35 Tahun 2014 mengenai perlindungan kanak-kanak.
“Selain mengenai keganasan terhadap kanak-kanak, kami juga menerapkan kes ini sebagai keganasan rumah tangga kerana pelaku dan mangsa tinggal di rumah yang sama setiap hari. Suspek berhadapan hukuman penjara sehingga 10 tahun jika sabit kesalahan,” kata Qori. – Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

