Merintis masa depan bandar pintar di Sidang Kemuncak ASEAN 2025

KEPIMPINAN Malaysia tahun ini disandarkan pada kesedaran bahawa jalan menuju masa depan serantau yang lestari dan berdaya tahan memerlukan transformasi struktur dalam tenaga, perubahan iklim, ekonomi, industri dan yang paling penting, perbandaran.
Dalam konteks ini, pembangunan bandar pintar (smart cities) menjadi antara agenda utama yang perlu diterajui dengan serius dan kritikal.
Walaupun bandar pintar sering dilihat sebagai simbol kemajuan teknologi, realitinya di ASEAN lebih kompleks. Kebanyakan bandar dalam rantau ini sedang bergelut dengan pertumbuhan pesat tanpa kawalan, jurang digital, sistem pengangkutan awam yang lemah, perancangan guna tanah yang tidak mampan dan tadbir urus tempatan yang tidak bersepadu.
Hasilnya, teknologi pintar sering diterapkan secara terpisah-pisah tanpa menyelesaikan masalah akar umbi seperti kesesakan trafik, pencemaran akibat pelepasan karbon, ketidakseimbangan ekologi dan ketidaksamaan sosial.
Malaysia mengakui cabaran ini secara terbuka dan mengangkatnya ke peringkat serantau. Sebagai pengerusi, Malaysia menekankan bahawa bandar pintar bukan hanya mengenai penggunaan teknologi tetapi soal kecekapan pentadbiran, kebolehcapaian digital untuk semua lapisan masyarakat dan ketahanan terhadap perubahan iklim.
Malaysia mendorong agar negara-negara anggota ASEAN tidak terperangkap dalam perlumbaan teknologi semata-mata, tetapi menjadikan bandar pintar sebagai wahana untuk keadilan sosial dan kelestarian alam sekitar.
Melalui inisiatif seperti Kerangka Bandar Pintar Malaysia, Rangka Tindakan Bandar Rendah Karbon dan projek perintis di Selangor (Shah Alam), Johor (Iskandar Puteri) dan Pulau Pinang (Georgetown), Malaysia membangunkan model bandar pintar yang berfokuskan kepada kebolehcapaian, mobiliti mampan, pengurusan tenaga pintar serta keterlibatan komuniti.
Manakala beberapa negara anggota turut menunjukkan kemajuan ketara dalam inisiatif bandar pintar antaranya Bandar seperti Surabaya dan Bandung telah diiktiraf sebagai peneraju bandar pintar di Indonesia.
Begitu juga Singapura telah melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah program Smart Nation dan lebih mengejutkan Thailand telah membangunkan lebih daripada 100 bandar pintar sejak tahun 2019.
Menangani cabaran iklim dan geopolitik secara berani
Krisis iklim kini mengancam kestabilan ekonomi dan keselamatan serantau. Kenaikan suhu, banjir ekstrem dan gangguan sumber air semakin kerap melanda bandar-bandar utama ASEAN.
Dalam masa yang sama, ketegangan geopolitik global seperti kadar tarif eksport Amerika Syarikat dan peperangan di Timur Tengah dan India-Pakistan memberi tekanan kepada rantaian bekalan dan pasaran tenaga.
Malaysia sebagai pengerusi mengambil pendekatan berani dan tegas: mendepani cabaran ini dengan penyelesaian sistemik.
Melalui Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Ekonomi & Teknologi Hidrogen (HETR), Malaysia bukan sahaja mengurangkan pelepasan karbon, malah sedang membina asas untuk menjadi peneraju tenaga boleh baharu dan hidrogen bersih di rantau ini.
Transformasi industri dan ekonomi digital
Malaysia turut mendorong transformasi perindustrian melalui Industri 5.0 yang menekankan keseimbangan antara teknologi, kelestarian dan kemanusiaan.
Inisiatif MyDIGITAL, bersama pelaburan dalam AI, data raya dan automasi lestari membuka ruang kepada bandar untuk menggunakan teknologi secara bijak dalam pengurusan lalu lintas, kecekapan tenaga, pemantauan bencana dan penyampaian perkhidmatan awam.
Malaysia juga aktif membina kapasiti tempatan melalui ‘sandbox’ inovasi, sokongan kepada syarikat pemula teknologi hijau serta kolaborasi universiti-industri bagi membangunkan penyelesaian bandar masa depan yang relevan dengan konteks ASEAN.
Malaysia sebagai pemangkin tindakan kolektif ASEAN
Sebagai pengerusi, Malaysia sedang membina asas kepada kerangka kerjasama bandar pintar ASEAN yang lebih terarah termasuk pemetaan indikator bersama, penyelarasan piawaian teknologi dan pengurusan data secara selamat dan inklusif.
Malaysia juga mengusulkan agar bandar pintar dimasukkan sebagai komponen utama dalam rangka kerja integrasi ekonomi ASEAN pasca 2025.
Mengikut data setakat Ogos 2024, sebanyak 86 projek bandar pintar telah dilaksanakan di bawah Rangkaian Bandar Pintar ASEAN (ASCN), melibatkan 31 bandar dari 10 negara anggota ASEAN.
Selain itu, Malaysia memainkan peranan penting kerjasama awam swasta (PPP) dalam memperjuangkan keadilan iklim dan akses pembiayaan yang lebih saksama terutama bagi negara anggota yang berhadapan kekangan fiskal dan teknikal dalam membangunkan bandar pintar dan rendah karbon.
Sebagai contoh kerjasama bersama Kementerian Alam Sekitar, Keselamatan Nuklear dan Perlindungan Pengguna Jerman (BMUV), Agensi Kerjasama Antarabangsa (GIZ) Jerman, United Nation Development Plan (UNDP) dan Rangkaian Global Pelan Adaptasi Nasional (NAP), berkolaborasi dengan agensi tempatan seperti MGTC, MIGHT, MDEC, PlanMalaysia, dan NRECC.
Dari kepengerusian ke kepimpinan iklim dan bandar
Kepengerusian Malaysia dalam ASEAN 2025 menjadi peluang strategik untuk menterjemahkan aspirasi kepada tindakan.
Dengan dasar yang progresif, pendekatan yang inklusif, dan visi yang jelas, Malaysia mengangkat pembangunan bandar pintar sebagai enjin transformasi bukan sahaja untuk teknologi, tetapi untuk keadilan, kesejahteraan dan kelangsungan hidup serantau.
Malaysia tidak sekadar mengetuai mesyuarat Malaysia memimpin perubahan. ASEAN kini memerlukan keberanian untuk bertindak, dan Malaysia sedang menunjukkan jalan.
* Ts Dr Mohd Muzzammil Ismail ialah Profesor Adjung Graduate School of Business Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Felo Institute of Hazard Risk and Resilience (University of Durham, UK)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
