12 mahasiswa di Johor dijangkiti HIV tahun lalu - Exco

Tian Soon ketika menjawab soalan Selamat Takim (BN–Sungai Balang) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar pada Isnin.
Tian Soon ketika menjawab soalan Selamat Takim (BN–Sungai Balang) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar pada Isnin.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI – Seramai 12 mahasiswa di negeri ini disahkan menghidap HIV setakat tahun 2024, meningkat berbanding 10 kes pada tahun sebelumnya.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, kesemua jangkitan dikenal pasti berpunca daripada hubungan seksual tidak selamat.

Jelas beliau, situasi tersebut mencetuskan kebimbangan terhadap peningkatan kes dalam kalangan golongan muda, khususnya mahasiswa.

“Kerajaan Johor melalui Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) telah memperkukuh pelaksanaan Program PROSTAR 2.0 sejak tahun 2023 dengan kerjasama institusi pengajian tinggi, bagi meningkatkan kesedaran dan pencegahan HIV dalam kalangan remaja dan belia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Selamat Takim (BN–Sungai Balang) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar pada Isnin.

Tian Soon memaklumkan bahawa seramai 1,673 mahasiswa dan pelajar sekolah menengah telah menyertai pelbagai aktiviti di bawah program berkenaan setakat ini.

Menurutnya, inisiatif lain termasuk ceramah kesihatan, forum komuniti dan kempen kesedaran awam turut dijalankan secara berkala, selain pendekatan digital melalui media sosial untuk menyampaikan maklumat kesihatan secara lebih dekat kepada golongan sasaran.

“Kerajaan turut menyediakan perkhidmatan kaunseling dan ujian saringan HIV secara percuma dan rahsia di semua Klinik Kesihatan di negeri ini bagi menggalakkan pengesanan awal serta intervensi tingkah laku.

“Kerajaan negeri akan terus komited memastikan usaha pencegahan HIV diperhebat demi melahirkan generasi muda yang sihat, berilmu dan berakhlak tinggi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!