Malaysia akan terus perjuang keadilan buat Gaza - PM

JOHOR BAHRU – [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Malaysia akan terus memperjuangkan keadilan untuk rakyat Gaza dan menentang segala bentuk penjajahan oleh rejim Israel.
Beliau berkata, meskipun Malaysia adalah sebuah negara kecil, negara ini tetap konsisten menyuarakan hak dan kebebasan rakyat Palestin di peringkat antarabangsa.
“Memang di banyak negara orang mengharapkan kita bersuara dengan lebih lantang. Saya fikir ini menyedihkan kerana ia mencerminkan kemunafikan dalam sistem politik dunia yang sangat memalukan.
Anwar, yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), berkata demikian dalam ucapan penggulungan sebelum menangguhkan Kongres Nasional PKR 2024/2025 yang berakhir hari ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru.
Beliau turut menyatakan penghargaan terhadap pihak antarabangsa yang konsisten menyuarakan keadilan terhadap nasib rakyat Palestin, termasuk kenyataan dari Paus Leo XIV yang menyeru agar gencatan senjata segera dilaksanakan di Semenanjung Gaza.
“Kenyataan sebegitu kadangkala lebih tegas berbanding sesetengah pemimpin Islam yang lain.
“Kita akan terus perjuangkan keadilan dan hak, dan kita akan tentang segala bentuk penjajahan - termasuk penjajahan Israel terhadap bumi Gaza,” tegasnya.
Menurut laporan agensi berita Anadolu pada 13 Mei lalu, sekurang-kurangnya 52,908 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan berterusan Israel sejak Oktober 2023.
Pada November tahun lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant, atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel kini turut berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa kerana serangan ketenteraan terhadap kawasan penduduk awam di wilayah tersebut. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!