Nasib Fernandes diketahui akhir bulan

TEKA-TEKI mengenai nasib Bruno Fernandes, sama ada mahu meninggalkan Manchester United atau menandatangani kontrak bernilai £200 juta (RM1.14 bilion) bersama Al-Hilal, dijangka terjawab minggu depan.
Kelab Liga Pro Saudi itu mahukan jawapan menjelang akhir bulan ini dan berharap pemain berusia 30 tahun itu sedia meninggalkan Old Trafford.
Mereka juga bersedia menawarkan yuran perpindahan sebanyak £100 juta (RM572.9 juta) kepada The Red Devils sekiranya Fernandes bersetuju menandatangani kontrak tiga tahun dengan gaji £700,000 (RM4.01 juta) seminggu.
Manchester United dilaporkan tidak mahu menjual kapten dan pemain terbaik mereka itu.
Namun, kelab kini berdepan situasi kewangan getir susulan kekalahan kepada Tottenham Hotspur dalam final Liga Europa, yang menyebabkan mereka kehilangan pendapatan kira-kira £100 juta (RM572.9 juta) daripada saingan Liga Juara-Juara Eropah.
Fernandes sebelum ini mengakui bahawa dia mungkin dijual untuk mengimbangi perbelanjaan kelab.
“Jika kelab merasakan ia masa untuk berpisah kerana mereka mahu mendapatkan dana, begitulah situasinya,” katanya.
Al-Hilal sedang mencari pemain berkualiti bagi memperkuatkan pasukan menjelang Kejohanan Piala Dunia Kelab bulan depan.
Biarpun pemain antarabangsa Portugal itu gembira di Old Trafford, ketiadaan saingan Eropah musim depan serta pemotongan gaji sebanyak 25 peratus mungkin mendorongnya untuk mempertimbangkan tawaran tersebut.
Tambahan pula, tempatnya dalam skuad kebangsaan Portugal dilihat lebih terjamin, seperti yang berlaku kepada Cristiano Ronaldo selepas meninggalkan United dan menyertai Al-Nassr pada tahun 2022.
Hampir kesemua pemain United dijangka akan dilepaskan pada jendela perpindahan musim panas ini bagi memberi ruang kepada pengurus baharu, Ruben Amorim, membentuk semula skuad yang kini berada di tangga ke-16 Liga Perdana Inggeris.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
