Tapir 320kg terjatuh lubang kumbahan

Anggota keselamatan berusaha mengeluarkan seekor tapir betina yang terjatuh dalam lubang kumbahan berdekatan rumah penduduk di Kampung Kijing, Marang.
Anggota keselamatan berusaha mengeluarkan seekor tapir betina yang terjatuh dalam lubang kumbahan berdekatan rumah penduduk di Kampung Kijing, Marang.
A
A
A

MARANG - Seekor tapir betina seberat 320 kilogram (kg) yang terjatuh ke dalam lubang kumbahan berhampiran rumah penduduk di Kampung Kijing di sini, berjaya diselamatkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu.

Pengarahnya, Loo Kean Seong berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira jam 8.30 pagi pada Sabtu sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

"Setibanya di lokasi, didapati seekor tapir betina, dianggarkan berusia 13 tahun, terperangkap dalam lubang kumbahan.

"Usaha menyelamat dijalankan dengan bantuan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan pasukan Bomba Marang,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Menurut beliau, tapir tersebut berjaya dinaikkan pada jam 12 tengah hari dan hanya mengalami kecederaan ringan.

“Haiwan tersebut telah dirawat oleh anggota Perhilitan sebelum dilepaskan kembali ke habitat asal selepas dipastikan keadaannya stabil,” katanya.

Pada masa sama, beliau merakam penghargaan atas kerjasama semua pihak yang prihatin terhadap insiden berkenaan.

"Terima kasih atas kerjasama orang ramai yang menyalurkan maklumat. Kita berharap sebarang kejadian melibatkan hidupan liar dapat dilaporkan untuk tindakan segera," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!